BISNES

Bayaran saham KPF tertunggak: Anggota desak penyelesaian segera, ancam piket besar-besaran

Astro Awani 25/12/2025 | 03:20 MYT
Ahmad Karami (kiri) menegaskan kenyataan terbaharu Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF), Mohd Banuri Aris dilihat memperlekeh kebijaksanaan anggota dan mengelirukan isu sebenar berhubung tunggakan bayaran jualan saham.
KUALA LUMPUR: Wakil pelabur dan penyelaras ‘Gegar KPF’, Ahmad Karami Lebai Yunus menegaskan kenyataan terbaharu Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF), Datuk Mohd Banuri Aris dilihat memperlekeh kebijaksanaan anggota dan mengelirukan isu sebenar berhubung tunggakan bayaran jualan saham.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mendakwa modal syer boleh dikeluarkan seperti akaun bank.

"Kami tidak pernah mendakwa modal syer boleh dikeluarkan seperti akaun bank. Ini merupakan kenyataan kurang cerdik dan mengelirukan daripada Pengerusi KPF. Isu sebenar ialah permohonan telah dibuat, diproses dan diluluskan, namun bayaran gagal dibuat dalam tempoh munasabah.

"Mengulang hujah ini seolah-olah anggota tidak memahami perbezaan asas kewangan hanyalah satu usaha merendahkan kebijaksanaan anggota," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Karami menjawab kenyataan Datuk Mohd Banuri yang memaklumkan, KPF merupakan entiti koperasi pelaburan, bukan bank, bermakna urusan pengeluaran dana tidak boleh dibuat secara bebas atau serta-merta seperti akaun simpanan bank.

Beliau berkata demikian susulan kekecewaan dizahirkan segelintir pencarum berhubung kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen yang didakwa masih belum dilunaskan selepas dua tahun.

Dalam pada itu, Ahmad Karami turut mempersoalkan dakwaan wujud aturan baharu yang mengehadkan pengeluaran modal syer kepada enam kali sepanjang keanggotaan dan sekali setahun, sambil menegaskan sebarang perubahan hak anggota mesti melalui pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) yang sah, diluluskan Mesyuarat Agung, dipersetujui anggota dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Sehingga kini, tiada pendedahan jelas mengenai resolusi dan pendaftaran pindaan tersebut, menjadikan dakwaan ini sangat meragukan. Polisi dalaman tidak boleh mengatasi UUK atau menjejaskan hak anggota sedia ada," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Karami mendakwa, masalah aliran tunai KPF berpunca daripada aset yang sukar dicairkan termasuk ladang seluas 30,000 hektar di Samarahan, Sarawak yang dibeli kira-kira 10 tahun lalu pada harga RM1.2 bilion, didakwa melebihi nilai pasaran.

"Ladang ini dibeli oleh KPF kira-kira 10 tahun lalu pada harga RM1.2 bilion, yang dilaporkan melebihi nilai pasaran menurut penilaian pihak ketiga. Pembelian ini dibuat sebagai pengganti aset-aset yang dilepaskan semasa penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

"Namun hingga kini aset ini tidak dapat dicairkan. Inilah antara punca mengapa KPF menghadapi masalah aliran tunai dan gagal membayar hak anggota secara tepat pada masanya. Kami, pihak anggota, meminta pihak berkuasa menyiasat pembelian ladang ini bagi memastikan tiada salah urus atau pelanggaran tatakelola yang merugikan koperasi dan anggota," katanya.

Ahmad Karami turut menolak naratif bahawa tuntutan bayaran hanya dibuat oleh anggota tidak setia, sebaliknya menegaskan ramai anggota yang menuntut adalah pelabur lama yang kini memerlukan wang untuk kelangsungan hidup dan rawatan kesihatan.

Sehubungan itu, Ahmad Karami menuntut KPF mengumumkan jadual bayaran tertunggak yang jelas dalam tempoh 14 hari, mendedahkan status pindaan UUK, menghentikan kenyataan memperlekeh anggota serta mendesak Ketua Pegawai Eksekutif KPF, Sakinah Salleh meletakkan jawatan.

"Ketua Pegawai Eksekutif, Sakinah Salleh perlu mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan KPF ini dengan meletakkan jawatan.

"Sekiranya tuntutan ini tidak dapat dilaksanakan, kami para anggota yang terdiri daripada warga Felda tidak akan teragak-agak untuk melancarkan satu lagi piket, dan kali ini secara besar-besaran kerana kesabaran ahli KPF telah sampai ke hadnya," dakwa beliau.

Pada Selasa, sekitar 100 pencarum KPF berarak dari Jalan Maktab di Kampung Datuk Keramat ke Balai FELDA menuntut pembayaran jualan saham pelabur.

Penyelaras perhimpunan yang juga wakil pelabur KPF, Ahmad Karami Lebai Yunus mendakwa harapan peneroka FELDA seolah-olah dicabul, penantian tanpa penghujung bagi menikmati wang hasil penjualan saham di akhir usia.




#pelaburan #gegar KPF #Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad KPF #Datuk Mohd Banuri Aris