KUALA LUMPUR:Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempersoalkan unjuran pendapatan Belanjawan 2021 yang dibentangkan, dan menyifatkannya sebagai tidak begitu realistik.

Ketika membahas Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, belanjawan itu seharusnya menepati aspirasi memperjuangkan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara, dan pembendungan efektif wabak COVID-19,

Selain itu, Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata lagi, beliau mengharapkan agar Kerajaan dapat segera memperbaiki kelemahan bagi memastikan ianya lebih efektif, terutamanya dalam pengurusan pandemik dan ekonomi negara.

“Saya merujuk kepada ucapan-ucapan perbahasan yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Port Dickson, Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu, Yang Berhormat Subang dan juga pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

“Saya setuju dengan mereka supaya Belanjawan mengambil kira unjuran yang realistik, mana nak dapat duit ni, dan memberi keutamaan kepada penyelesaian pelbagai masalah yang dihadapi rakyat terutama semasa wabak COVID19 ini,” katanya lagi.

Dr Wan Azizah berkata, perbelanjaan untuk pekerja barisan hadapan dilihat tidak menyeluruh, dan ada dalam kalangan mereka yang merungut tentang proses memohon bayaran kerja lebih masa.

Ujarnya lagi, Kerajaan perlu memastikan bahawa dalam mereka melaksanakan tugas, keluarga dan anak-anak mereka seharusnya turut diberi perhatian daripada sudut insentif penjagaan anak, keselesaan belajar dan jaminan suasana pekerjaan yang selamat dan langkah-langkah untuk melindungi mereka terjamin.

“Langkah ini penting sebagai penghormatan dan pengiktirafan yang sedikit sebanyak dapat membantu memberi motivasi kepada mereka di samping mengurangkan kerisauan petugas-petugas mengenai keluarga mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Belanjawan 2021 mestilah membendung hakisan kemajuan “gender equality”, yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.


Beliau berkata, sepanjang tempoh pandemik itu, kemunduran untuk wanita di Malaysia amat ketara dalam tiga aspek, termasuklah keselamatan daripada keganasan berdasarkan jantina, dan keselamatan dalam pekerjaan.

“Pertama sekali, pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan peningkatan risiko keganasan rumah tangga. Belanjawan 2021 mestilah mengutamakan perbelanjaan untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan perkhidmatan sokongan untuk mangsa kes keganasan berdasarkan gender.

“Misalnya, pihak kerajaan boleh menyediakan satu “inter-agency fund” dengan izin, untuk melatih responden pertama, termasuk pegawai polis, perubatan dan kebajikan untuk mengendalikan kes keganasan berdasarkan gender,” katanya lagi.

Selain itu, beliau yang turut pernah memegang portfolio Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, amat malang apabila peruntukan untuk Kementerian itu hanyalah RM2.6 bilion, kurang
satu peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2021.

“Perkara ini adalah amat tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai 15.9 juta wanita bersamaan 48.5 peratus rakyat Malaysia, hampir separuh rakyat Malaysia adalah wanita.

“KPWKM pada hemat saya wajar dijadikan kementerian kanan sekiranya kita ingin menangani pandemik COVID-19,” katanya lagi.