KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) pada peringkat dasar.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dengan undian suara majoriti selepas bacaan kali kedua. 

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan penggulungan kementerian kira-kira 40 minit.

Seramai 167 Ahli Parlimen selesai membahaskan Belanjawan 2023 yang berlangsung selama enam hari bermula 27 Februari, sebelum diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian selama dua hari bermula 8 Mac.

RUU itu yang dibentangkan pada 24 Februari lalu merupakan belanjawan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan, manakala RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.