KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Undi18 antara perkara yang bakal menjadi tumpuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan 24 Feb ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata kementerian itu bercadang untuk mengadakan program demokrasi bagi menerapkan pemahaman politik kepada golongan belia susulan peningkatan jumlah pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

"Kita perlu ada program demokrasi untuk pastikan apabila mereka keluar untuk mengundi, mereka tahu perbezaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Ini semua adalah pendidikan. Ilmu itu perlu kita beri kepada belia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di Kuarters Institusi Pendidikan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata menyedari peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar, KBS juga akan menumpukan kepada penganjuran program untuk mempersiapkan golongan belia dengan kemahiran yang boleh menjana pendapatan tambahan atau sebagai pilihan kerjaya.

Hannah berkata buat masa ini, menerusi program Skills For Life di bawah KBS, antara bengkel kemahiran yang telah dianjurkan ialah bengkel dandanan dan akan diperluaskan lagi kepada kemahiran teknikal lain seperti pemasangan penyaman udara.

Beliau berkata KBS juga bercadang untuk mengadakan kelas renang bagi golongan B40 berikutan data Kementerian Kesihatan yang menyatakan hampir 500 kematian akibat lemas direkodkan dalam kalangan kanak-kanak.

"KBS ada fasiliti sukan seperti kolam renang jadi kita perlu bantu golongan B40 belajar skil ini. Kalau kita tak bagi fasiliti itu kepada mereka, yang rugi negara bila kanak-kanak lemas kerana mereka adalah aset negara," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut itu berkata beliau telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk program riadah serta program yang akan dianjurkan oleh Kuarters Institusi Pendidikan Taman Tun Dr Ismail.

Pada majlis itu, Hannah yang turut merasmikan pembukaan taman permainan kanak-kanak di kuarters itu berkata inisiatif itu susulan tinjauannya sebelum ini yang mendapati ketiadaan kawasan riadah untuk anak-anak golongan pendidik di situ.

"Untuk saya kebajikan keluarga cikgu-cikgu perlu dijaga dulu sebelum mereka boleh keluar mengajar dan mendidik anak-anak yang lain," katanya.

-- BERNAMA