KUALA LUMPUR: Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kerajaan Negeri akan ditingkatkan kepada RM150 juta setahun berbanding RM70 juta tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, agihan EFT kepada negeri-negeri akan mengambil kira pewartaan kawasan perlindungan baharu termasuk habitat harimau dan mempergiat penanaman semula pokok di kawasan terosot.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekad kerajaan adalah untuk mempertahankan khazanah semula jadi negara, ke arah memastikan masa depan yang lebih untuk semua.


Tegasnya, ia termasuklah memelihara biodiversiti dan pengurusan hutan yang pada masa sama mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri kepada hasil balak.

“Pada masa sama, sejumlah RM38 juta turut disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.

“Kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti orang asli dan veteran tentera dan polis melibatkan peruntukan RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI