Belanjawan 2023: Potongan cukai untuk automasi perniagaan antara 'wish list' PKS - Samenta

Astro Awani
Februari 21, 2023 00:40 MYT
William berkata Samenta akan terus kekal komited dalam menyokong lebih satu juta PKS di Malaysia, melalui kerjasama yang dijalin erat dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. -Foto Samenta
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk menangani isu-isu mendesak melibatkan PKS dalam Belanjawan 2023.
Datuk William Ng, Pengerusi Samenta berkata, walaupun tekanan kos dan kekurangan buruh kekal antara isu paling mendesak yang memberi kesan kepada pemulihan PKS, cabaran jangka panjang seperti produktiviti rendah, anjakan digital, persaingan serantau dan pematuhan ESG mesti ditangani secepat mungkin.
“Kita berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera dalam memastikan PKS kekal berdaya saing.
"Ini memerlukan reformasi dan penjajaran semula ekonomi negara. Tetapi buat masa yang terdekat, kita mulakan dengan intervensi fiskal melalui Belanjawan 2023.
"Kita perlu mengalih fokus intervensi dan bantuan kerajaan dari pemberian geran langsung kepada potongan cukai berganda serta 'handholding' dan peningkatan pengetahuan antara PKS.
"Ini adalah untuk menggalakkan disiplin kewangan yang lebih baik dalam kalangan PKS sendiri.
"Di antara permintaan kami adalah potongan cukai berganda sehingga RM1 juta bagi tahun tafsiran 2023 untuk perbelanjaan mengautomasikan perniagaan, menerima pakai pendigitalan dan IR4.0 dan untuk mematuhi piawaian ESG.
"Di samping itu, skop kemudahan peralihan rendah karbon perlu diperluaskan untuk merangkumi bayaran perundingan dan latihan serta sebarang penambahbaikan kemudahan dan proses yang boleh membawa kepada peningkatan produktiviti," tambah beliau.
Samenta berharap pendapatan bercukai RM500,000 yang pertama untuk PKS dikenakan tarif cukai yang rendah iaitu 15 peratus, untuk menggalakkan PKS melabur semula keuntungan tersebut untuk mengembangkan perniagaan pascapandemik.
Permasalahan Jangka Panjang
"Untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan daya saing PKS dalam jangka panjang, kita perlu membantu PKS meningkatkan produktiviti sebagai persediaan dan penyelesaian kepada cabaran anjakan digital dan persaingan serantau.
“Dengan pemeteraian CPTPP dan RCEP, akan ada lebih banyak peluang untuk PKS kita, tetapi persaingan juga akan bertambah. Oleh itu, kita perlukan bantuan yang lebih mendalam, dan bukannya sekadar ‘galakan’ untuk PKS," kata Ng.
Antara ‘Wishlist’ Samenta yang lain adalah:
1. Untuk menangani masalah kekangan tenaga kerja: membenarkan potongan cukai berganda untuk perkhidmatan rundingan, latihan, pensijilan dan perisian untuk membantu PKS mengguna pakai 'sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti';
2. Mengurangkan anasir ejen pekerja asing yang mengenakan bayaran berlebihan dengan segera mengharamkan dan mendakwa individu-individu tersebut melalui undang-undang yang sedia ada seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981;
3. Membenarkan penggunaan levi HRDC untuk pengambilan pelatih dan perantis, dengan had elaun sebanyak RM1,000 sebulan setiap seorang untuk tempoh maksium 6 bulan, dan tanpa had kepada bilangan pelatih dan perantis tersebut;
4. Membenarkan pelajar asing di Malaysia bekerja maksimum 20 jam seminggu dalam sektor perkhidmatan profesional dan sektor peruncitan;
5. Mengurangkan tekanan kos dengan memastikan tiada kenaikan tarif elektrik untuk semua pengguna komersial dan industri untuk 1000 KWj yang pertama, dan untuk semua bil air, pembetungan dan telekomunikasi untuk sepanjang tahun 2023;
6. Menyediakan rebat bil internet sebanyak 50 peratus untuk tahun 2023 kepada semua usahawan desa (mengikut poskod) bagi menggalakkan syarikat telekomunikasi memperluaskan perkhidmatan ke kawasan liputan rendah dan menggalakkan usahawan desa menyertai digital ekonomi;
7. Menyimpan satu Daftar Geran SME di bawah SME Corp untuk mengehadkan mana-mana geran langsung atau padanan daripada semua agensi kerajaan kepada had seumur hidup RM500,000 bagi setiap perniagaan dan pengarah untuk mengelakkan 'usahawan geran' daripada mengambil peluang, agar bantuan kewangan Ini dapat memanfaatkan lebih banyak PKS; dan
8. Mengurangkan persaingan langsung daripada GLC dalam sektor bukan strategik dan menggalakkan sokongan kepada PKS dalam kalangan GLC, dengan mewajibkan laporan tahunan 'GLC for SMEs' yang akan memperincikan jumlah perbelanjaan yang dibuat kepada vendor PKS, bilangan vendor, purata perbelanjaan bagi setiap vendor dan program dan aktiviti untuk menyokong pembinaan kapasiti dan keupayaan vendor PKS.
Sebagai persatuan pertama dan terbesar di negara ini untuk PKS, Samenta akan terus kekal komited dalam menyokong lebih satu juta PKS di Malaysia, melalui kerjasama yang dijalin erat dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
#Belanjawan 2023 #PKS #SAMENTA #WILLIAM NG