KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau berpuas hati dengan perincian pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri pada Jumaat.

Begitupun, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya selepas melaksanakan kajian pasca pembentangan Belanjawan 2024.

“Pastinya ada kajian yang kita akan lakukan dan penambahbaikan pasti boleh dilaksanakan.

“Kita bukan bersifat maksum…ertinya bukan sempurna, tentu ada beberapa kekurangan dan kelemahan yang kita perlu perbaiki.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri, tidak semua kementerian dapat dipuaskan hati.

“Tetapi saya yakin pendekatan yang baharu akan dilakukan apabila kajian dibuat di pertengahan tahun kepada belanjawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas selesai pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadillah Yusof turut berpuas hati dengan pembentangan disempurnakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tahniah kerana membentangkan satu bajet yang komprehensif dan merangkumi menyentuh semua lapisan dan segmen tak kira sama ada perniagaan, individu, tua, muda, tidak kira lelaki, wanita, semua disentuh.

“Saya kira inilah konsep Malaysia Madani yang hendak diketengahkan oleh beliau.

“Ini juga sesuai dengan konsep Malaysia Madani yang berteraskan kepada dua perkara iaitu menstruktur ekonomi kita dan juga untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju sekali lagi kepada negara di rantau Asia,” ujarnya.

Belanjawan kali ini merupakan yang kedua dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024.

Jumlah itu adalah yang tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.