KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin pendekatan reformis dalam Belanjawan 2024 akan memberi manfaat kepada semua.

Menterinya Nga Kor Ming berkata Belanjawan 2024 yang reformis, progresif dan mesra rakyat memberikan mandat kepada KPKT untuk terus mengukuhkan agenda kesejahteraan rakyat dalam sektor perumahan, perkhidmatan kebombaan, komuniti dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Belanjawan 2024 bukan pendekatan biasa dengan hanya menyediakan peruntukan untuk kementerian tetapi merangkumi Reformasi Dasar yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia pada saat ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya Belanjawan 2024 jelas menunjukkan kerajaan serius untuk memajukan negara selain menjadi bukti keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan lebih baik.

Beliau berkata belanjawan ini mampu menyokong KPKT untuk terus melaksanakan tujuh bidang fokus utama merangkumi aspek perancangan rumah, peranan kerajaan tempatan, pemerkasaan komuniti, kemampanan bandar, pengurusan sisa pepejal serta perkhidmatan kebombaan demi kesejahteraan rakyat.

Kerajaan memperuntukkan RM5.647 bilion untuk KPKT dalam Belanjawan 2024 berbanding RM5.409 bilion tahun lepas, peningkatan sebanyak RM238 juta.

Menurut KPKT Belanjawan ini juga mendukung wawasan Ekonomi MADANI untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Belanjawan 2024 terus memberi tumpuan kepada agenda daya huni dengan menekankan 15 inisiatif melibatkan KPKT antaranya penyelenggaraan dan pembaikan tandas awam, lampu jalan serta parit dan longkang rosak bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

KPKT juga memaklumkan Belanjawan 2024 jelas menunjukkan bahawa Kerajaan serius untuk meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul supaya negara boleh bergerak maju ke hadapan.

"Pembaharuan dalam Belanjawan 2024 ini juga adalah bukti keprihatinan Kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia," katanya.

-- BERNAMA