Belanjawan 2024: Peruntukan RM60 juta tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman serangan siber

Bernama
Oktober 13, 2023 12:00 MYT
Anwar berkata melalui peruntukan itu, CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber serta Kepakaran Tempatan terhadap Teknologi 5G. - Gambar hiasan/Freepix
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata melalui peruntukan itu, CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber serta Kepakaran Tempatan terhadap Teknologi 5G.
Setakat September lepas, Digital Nasional Berhad (DNB) telah berjaya membangunkan rangkaian 5G dengan liputan di kawasan berpenduduk 70.2 peratus.
"Sebagaimana dijanjikan, rangkaian 5G akan mencapai kira-kira 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata rakyat kini boleh menikmati perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi pada tahap kualiti yang amat baik.
"Bagi melonjakkan penerimgunaan 5G, usaha gigih akan diperhebat dengan kerjasama syarikat telekomunikasi supaya lebih ramai pengguna dan perusahaan mendapat manfaat," katanya.
Bagi mempertingkat lagi tahap kecekapan perkhidmatan awam, beliau berkata pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) akan disegerakan sebagai platform pengesahan diri yang dipercayai.
"Dalam memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam, Unit Nukleus GovTech telah diwujudkan untuk membina kepakaran dalaman.
"Unit ini juga akan memudah cara pembangunan IDN dan aplikasi lain yang mesra pengguna dengan kos optimum," katanya.
Menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk menduduki tangga ke-20 teratas bagi Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam Laporan Daya Saing Global.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #Dewan Rakyat #Digital Nasional Bhd #keselamatan siber