KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut dijangka dapat memanfaatkan sekitar sembilan juta rakyat atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.

Jelas beliau, perkembangan positif itu hasil penjimatan subsidi, yang kemudiannya akan disalurkan kepada rakyat.

"Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700, minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

"Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500, yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI melibatkan  tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, STR 2024 akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

"Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah. 

Ia antaranya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. 

"Program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan bagi mengurangkan kos perniagaan sekali gus dapat menurunkan harga jualan," kata Anwar.