KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menyarankan agar kadar pembiayaan penuh 100 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperluas kepada semua pelajar dalam kategori M40.

Presiden PKIBM Amir Hamzah Md Isa berkata berdasarkan dasar semasa, pelajar daripada keluarga M40 hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75 peratus, berbanding kelompok B40 yang diberikan pembiayaan penuh RM4,000 untuk satu semester bagi pengajian peringkat diploma.

"Langkah ini bukan sahaja meringankan bebanan ibu bapa tetapi juga menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat ini.

Amir Hamzah berkata pihaknya turut memohon kerajaan memperluas tawaran pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada pelajar bumiputera berkelayakan yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bertaraf kolej milikan bumiputera berstatus cemerlang (MyQUEST 2022-Berdaya Saing) yang menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam kategori kritikal.

"Pelajar bumiputera daripada keluarga B40 dan M40 dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang baik dan sederhana lebih cenderung mengikuti program diploma kerana tempoh pembelajaran yang singkat dan siswazah dalam bidang-bidang kritikal lebih menjadi pilihan industri serta mudah mendapat pekerjaan," katanya.

Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga perlu memperluas inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan mahasiswa universiti awam kepada pelajar yang sedang menuntut di IPTS bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, sektor pendidikan tinggi swasta diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara, namun IPTS hakikatnya berdiri sendiri dan sebahagian besar institusi hanya bergantung kepada yuran pelajar yang mendaftar.

"Penurunan mendadak kadar kemasukan pelajar baharu sejak dua tahun kebelakangan ini secara relatifnya menjejaskan aliran tunai institusi yang terlibat," katanya sambil berharap Belanjawan MADANI yang akan dibentangkan nanti dapat membantu dan menyokong kelangsungan IPTS bumiputera untuk kekal beroperasi.

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menawarkan skim pembiayaan mudah kepada IPTS bumiputera berkelayakan yang terkesan dengan pelbagai ketidaktentuan pascapandemik COVID-19 sebelum ini.

Katanya, Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang ditawarkan MARA dengan jumlah maksimum RM5 juta sebelum ini nyata membantu banyak IPTS bumiputera dan ia wajar diteruskan secara bersasar.

"Perkenalkan Insentif Pelan Digitalisasi IPTS bagi meningkatkan keupayaan proses pengajaran, infrastruktur dan kemudahan Internet di kampus dan pusat pembelajaran bagi melonjakkan keupayaan IPTS agar lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa dan menjana semula pendapatan yang merosot sebelum ini," katanya.

Amir Hamzah berkata pihaknya berharap kerajaan memberi tumpuan serius terhadap nasib lebih 500,000 pelajar di IPTS selain menyokong kelangsungan institusi milikan bumiputera menerusi Belanjawan 2024.

-- BERNAMA