KUALA LUMPUR: Potongan cukai sehingga 10 peratus kepada individu atau syarikat yang menyumbang ke arah kemajuan sukan merupakan satu langkah efektif dalam memperkasakan industri sukan negara.

Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata inisiatif tersebut mampu menarik perhatian pihak korporat untuk melibatkan diri dalam penganjuran dan penajaan acara sukan pada masa akan datang.

"Ini (10 peratus) satu jumlah agak besar lebih-lebih lagi melibatkan syarikat korporat seperti bank yang mempunyai jumlah pendapatan agregat tinggi.

"Sudah pasti jumlah yang kita harap dapat menarik pembabitan korporat dalam menjadi rakan kepada persatuan-persatuan sukan, sekali gus membantu mereka menganjur acara sukan pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohd Sadek Mustaffa turut menyambut baik usaha itu yang akan menggalakkan lagi pelaburan daripada pihak swasta yang berperanan memajukan sukan-sukan kompetitif.

"Seperti di negara maju yang lain, tujuan asas penglibatan swasta adalah untuk mengurangkan beban kerajaan dengan mengambil peranan menyumbang kepada pembangunan sukan-sukan kompetitif. Jadi kerajaan hanya perlu fokus kepada perkembangan sukan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata peranan yang dimainkan bukan setakat pelaburan dan penajaan, malah mereka perlu menjadi penanda aras dengan memperkasakan teknologi dan kemudahan serta penglibatan yang menyeluruh dalam industri sukan.

Dalam pada itu, seorang pengurus audit dalaman syarikat swasta Nur Ain Wahidah Mohamad Asri, 34, melahirkan rasa syukur dan lega dengan pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan yang diperluas untuk yuran mengikuti latihan sukan.

"Saya hantar anak ke kelas taekwondo, jadi saya rasa ini akan menggalakkan lebih ramai ibu bapa untuk hantar anak-anak menceburi bidang sukan dan mungkin lebih daripada satu sukan dapat diceburi dengan adanya inisiatif ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Kerajaan juga bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

-- BERNAMA