Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
BISNES

Belanjawan 2026: Basmi kemiskinan perlu pendekatan dinamik, data tepat kunci kejayaan

Astro Awani 10/10/2025 | 23:20 MYT
Menurut Madeline, isu utama yang perlu diselesaikan ialah 'mistargeting' bantuan - di mana golongan benar-benar memerlukan terlepas pandang, manakala penerima sedia ada kekal dalam sistem walaupun sudah tidak layak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usaha membasmi kemiskinan negara tidak boleh lagi berasaskan angka semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan data tepat dan pendekatan yang lebih dinamik.

Menurut Felo Kehormat Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeline Berma, kemiskinan di Malaysia kini memerlukan definisi semula - bukan sekadar berdasarkan pendapatan isi rumah, tetapi turut mengambil kira dimensi sosial, akses peluang dan kesejahteraan hidup.

Poverty is dynamic. Nak basmi kemiskinan, cara melihat kemiskinan perlu berubah. Ia mesti data-based dan tidak boleh kekal statik,” katanya ketika mengulas peruntukan serta pendekatan baharu kerajaan pasca pembentangan Belanjawan 2026.

Beliau menegaskan, isu utama yang perlu diselesaikan ialah 'mistargeting' bantuan - di mana golongan benar-benar memerlukan terlepas pandang, manakala penerima sedia ada kekal dalam sistem walaupun sudah tidak layak.

“Masalahnya, ada penerima yang sudah stabil tetapi enggan keluar daripada sistem kerana insentif yang diterima agak baik. Proses ‘pemutihan miskin’ ini tidak berjalan sepenuhnya,” tambahnya.

Dialog Poket Rakyat: Belanjawan 2026, belanjawan rakyat?

Pandangan ini disuarakan Madeline dalam diskusi Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI yang disiarkan pada Jumaat.

Dalam konteks semasa, perubahan struktur ekonomi juga penting bagi memastikan gaji dan peluang pekerjaan meningkat seiring kos sara hidup.

Katanya, pembasmian kemiskinan tidak akan berjaya tanpa reformasi ekonomi dan kejujuran dalam menilai situasi sebenar.

“Kita tidak perlu malu mengakui masih wujud kemiskinan, yang penting ialah usaha berterusan untuk menanganinya secara jujur dan berkesan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak terperangkap dengan naratif konvensional seperti kategori B40, M40 dan T20 yang kini sudah tidak lagi mencerminkan realiti semasa, memandangkan jurang pendapatan semakin melebar dan struktur sosial berubah.

“Dulu mudah, ramai miskin. Sekarang nak cari orang miskin pun susah, tetapi dalam sistem ramai yang kekal sebab dah selesa. Itu cabaran sebenar,” katanya.








#Belanjawan 2026 #kemiskinan #pendapatan isi rumah #Dialog Poket Rakyat