Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Belanjawan 2026: BUDI95 penentu awal arah fiskal negara - Nazri Khan

Astro Awani 09/10/2025 | 08:30 MYT
Nazri menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan disiplin fiskal, pengurangan defisit dan kesinambungan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi kerangka BUDI95. - Foto Facebook Nazri Khan
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program subsidi bersasar RON95 melalui inisiatif BUDI Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah strategik dan ‘game-changer’ dalam landskap dasar subsidi negara.


Ringkasan AI
  • BUDI Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai game-changer kerana mampu menstabilkan fiskal negara dan memastikan subsidi bersasar kepada golongan memerlukan.
  • Belanjawan 2026 dijangka fokus kepada disiplin fiskal, pengurangan defisit dan kesinambungan pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan teknologi data seperti PADU.
  • Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bahan api akan membuka ruang untuk pelaburan semula dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan dan infrastruktur digital.


Penganalisis ekonomi dan pasaran, Datuk Nazri Khan berpandangan inisiatif tersebut bukan sahaja berpotensi menstabilkan kedudukan fiskal negara, malah memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Inisiatif BUDI95 mencerminkan komitmen kerajaan untuk melakukan reformasi menyeluruh terhadap struktur subsidi negara ke arah sistem yang lebih adil dan mampan.

"Ia bukan semata-mata penjimatan, tetapi pelaburan semula demi masa depan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, Nazri menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan disiplin fiskal, pengurangan defisit dan kesinambungan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi kerangka BUDI95.

Tambah beliau, langkah berkenaan mampu menjadi batu asas kepada pembentukan ekosistem fiskal yang lebih mampan serta berasaskan kecekapan penggunaan sumber negara.

"Belanjawan 2026 dijangka mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan realiti fiskal negara.

"Pendekatan bersasar akan terus diperkasa dengan bantuan teknologi data seperti PADU bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara optimum.

"Ini selaras dengan misi kerajaan membina semula kepercayaan pelabur dan menstabilkan kedudukan fiskal negara," katanya.

Ujar Nazri lagi, BUDI95 juga bakal memainkan peranan penting sebagai indikator awal kepada keberkesanan dasar fiskal kerajaan.

Katanya, penjimatan besar daripada rasionalisasi subsidi bahan api akan memberi kerajaan ruang fiskal baharu untuk menyalurkan dana ke sektor yang menjana nilai tambah tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan awam dan infrastruktur digital.

Belanjawan 2026 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat esok.






#BUDI MADANI #BUDI95 #Belanjawan 2026 #Nazri Khan