BISNES
Belanjawan 2026 dukung matlamat RMK13, tumpu tiga teras utama - Amir Hamzah

Amir Hamzah (dua kiri) menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada Khamis. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Belanjawan 2026 adalah belanjawan sulung yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta memperkukuh tatakelola baik dalam pentadbiran negara.
Menaikkan siling merujuk kepada strategi mempertingkatkan potensi dan daya saing negara melalui pelaburan dalam inovasi, teknologi serta pembangunan bakat, manakala menaikkan lantai pula bermaksud memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kerajaan seperti pendidikan dan kesihatan agar tiada golongan yang tercicir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam usaha menaikkan siling, kerajaan akan meningkatkan daya saing negara dan menyokong sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi terutaman melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam.
Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mengupayakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pemula niaga supaya menjadi pengeluar produk dan perkhidmatan "Made by Malaysia" (Buatan Malaysia)."Agenda digital dan kecerdasan buatan terus diberi tumpuan selari dengan usaha membudayakan daya cipta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai," katanya ketika berucap pada majlis libat urus Belanjawan 2026, di sini, hari ini.
Menurut Takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan pada 10 Oktober ini di Dewan Rakyat.
Acara yang merupakan sesi libat urus pertama bagi Belanjawan 2026 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Selain itu, 300 individu mewakili insitusi penjawat awam, sektor industri, dewan perniagaan, teknokrat, pakar ekonomi, para ilmuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa turut menyertai majlis itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami