BISNES

Belanjawan 2026 gerak agenda reformasi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pasaran buruh

Bernama 08/08/2025 | 21:10 MYT
MOF dalam kenyataan Pra-Belanjawan 2026 memaklumkan reformasi perkhidmatan kesihatan itu bertujuan memastikan penjagaan yang mampu milik, saksama dan berkualiti. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 akan menangani hasil penemuan utama Jawatankuasa Bersama Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JMCPHC), khususnya isu peningkatan kos perkhidmatan kesihatan.

Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataan Pra-Belanjawan 2026 memaklumkan, reformasi perkhidmatan kesihatan itu bertujuan memastikan penjagaan yang mampu milik, saksama dan berkualiti.

Antara fokus utama ialah perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan rentan, meningkatkan akses kepada ubat-ubatan mampu milik, penambahbaikan penjagaan asas di luar bandar, pendigitalan perkhidmatan melalui teleperubatan dan rekod elektronik, serta meningkatkan kesiapsiagaan sistem menghadapi krisis dan penuaan penduduk.

Selain kesihatan, Belanjawan 2026 turut menggerakkan agenda reformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melahirkan bakat yang memenuhi permintaan sektor industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Menurut MOF, kerajaan bertekad mempertingkatkan keberhasilan pendidikan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, memperkukuh pembelajaran asas, dan merapatkan jurang pencapaian terutama dalam kalangan golongan rentan.

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran sepanjang hayat akan diperkasakan sejajar dengan strategi tenaga kerja nasional dan keperluan sektor masa hadapan.

Menurut MOF, reformasi pasaran buruh juga diberi tumpuan bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan mempermudah akses kepada peluang pendapatan lebih tinggi.

Selain pelaksanaan gaji minimum, langkah ini menekankan pertumbuhan gaji mampan, kerjasama industri dalam pembangunan kerjaya, peningkatan kemahiran, dan pembaharuan struktur pekerjaan ke arah pertumbuhan ekonomi seimbang.

"Kerajaan kekal komited menyesuaikan dasar dan strategi selaras perubahan dinamik dalam landskap pasaran buruh masa kini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA






#Kementerian Kewangan #gaji minimum #STEM #TVET