Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
BISNES

Belanjawan 2026: Hajiji sifatkan sebagai progresif dan berhemah, Sabah nikmati manfaat

Hasimi Muhamad 10/10/2025 | 10:42 MYT
Hajiji (kiri) dan Masidi menyaksikan pembentangan Belanjawan 2026 di Menara Kinabalu pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai belanjawan yang progresif dan berhemah, serta tidak meminggirkan keperluan rakyat di pelbagai peringkat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belanjawan berjumlah RM470 bilion itu turut memberi perhatian kepada golongan kurang berkemampuan, sejajar dengan pendekatan inklusif dan mesra rakyat.

Menurut Hajiji, Sabah menerima manfaat besar melalui belanjawan tersebut, termasuk peruntukan sebanyak RM6.9 bilion bagi pembangunan negeri itu pada tahun 2026.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM6.7 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan belanjawan negara untuk tahun depan," kata Hajiji.

"Belanjawan ini saya sifatkan sebagai belanjawan yang progresif dan cukup berhemah tanpa meminggirkan kepentingan pelbagai masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Dalam belanjawan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi negara, Sabah juga mendapat peruntukan yang kita anggap boleh membantu negeri iaitu RM6.9 billion," katanya ketika ditemui media selepas selesai menyaksikan pembentangan Belanjawan 2026 di Menara Kinabalu, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Selain itu, Hajiji menghargai pembiayaan bagi projek Southern Link untuk infrastruktur elektrik di Sabah berjumlah RM765 juta yang diyakini mampu meningkatkan kestabilan tenaga di negeri berkenaan.

Katanya, pelbagai inisiatif lain turut diumumkan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.

Menerusi Belanjawan 2026, peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022.

Manakala, Sarawak terus meninggi kepada RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion tahun sama, jumlah tertinggi diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap dan pada 2026, sebanyak RM1.67 bilion disediakan serta dilaksana mengikut jadual.

Bagi memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia menikmati manfaat digital sebaiknya, Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer (KM) dengan kos RM2 bilion akan dilaksanakan.





#Belanjawan 2025 #Hajiji Noor #Peruntukan Sabah Belanjawan 2026 #bantuan str