BISNES

Belanjawan 2026 lebih mesra sektor produk pengguna, tawar banyak manfaat - RHB Research

Dagang News 26/09/2025 | 05:40 MYT
Sektor produk pengguna dijangka kekal stabil dengan prospek pendapatan mampan disokong asas domestik dan bantuan fiskal kerajaan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sektor produk pengguna dijangka terus menjadi pelaburan dengan prospek pendapatan secara mampan, meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang masih tidak menentu.


Ringkasan AI
  • Sektor produk pengguna dijangka kekal stabil dengan prospek pendapatan mampan disokong asas domestik dan bantuan fiskal kerajaan
  • Belanjawan 2026 dijangka beri manfaat kepada syarikat keperluan asas, namun risiko termasuk cukai eksais baharu dan rasionalisasi subsidi RON95
  • Syarikat pilihan utama termasuk Mr DIY, Guan Chong, Mynews, Farm Price dan Focus Point kerana asas kukuh dan potensi pertumbuhan mapan


Menurut RHB Research, ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham-saham sektor itu, dengan merujuk kekuatan utama syarikat terbabit ialah asas pendapatan yang berorientasikan domestik.

Firma penyelidikan tersebut menambah, keadaan semasa turut dibantu trend penggunaan yang kekal kukuh disokong oleh kestabilan pasaran pekerjaan dan bantuan fiskal berterusan daripada kerajaan.

"Kami menjangkakan Belanjawan 2026 bakal membawa lebih banyak langkah mesra rakyat yang berpotensi memanfaatkan syarikat-syarikat dalam sektor produk pengguna," katanya dalam satu nota kajian.

Sasaran utama jelas RHB Research, khususnya kepada para pemain dalam segmen keperluan asas dan penjimatan ketara daripada pelaksanaan langkah reformasi utama, kemungkinan memberi ruang fiskal.

Perkembangan itu tambah firma berkenan, dirangka untuk meningkatkan peruntukan sokongan, sekali gus membantu dalam meredakan tekanan kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, katanya, cukai eksais yang lebih tinggi atau perluasan skop cukai ke atas barangan dianggap tidak sihat seperti minuman bergula, tembakau dan alkohol mungkin diperkenalkan pula.

"Langkah ini sebenarnya sejajar dengan usaha kerajaan sendiri membendung penyakit tidak berjangkit berdasarkan data rakyat Malaysia antara paling tinggi di peringkat serantau," kata RHB Research.

Daripada 14 syarikat yang menerima liputan firma penyelidikan itu dalam sektor produk pengguna, 6 mencatat keputusan sejajar jangkaan, manakala 6 lagi di bawah dan hanya 2 melepasi unjuran.

Antara yang mencatatkan kejutan positif ialah Nestle (M) Berhad dan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, dengan peningkatan sentimen pengguna terhadap jenama serta pertumbuhan jualan runcit.

Bagaimanapun kata RHB Research, beberapa syarikat lagi yang dalam segmen barangan bukan keperluan menyaksikan penurunan jualan, berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih awal pada tahun ini.

"Keadaan ini sekali gus menjejaskan perbelanjaan pengguna pada suku berikutnya dan kami menjangka sentimen mungkin berada pada tahap terendah dan bakal pulih secara beransur-ansur," katanya.

Perkembangan itu jelasnya, dipacu antaranya oleh kepastian terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan serta faedah Kadar Dasar Semalaman (OPR) lebih rendah

RHB Research menambah, pengukuhan nilai ringgit, pakej rangsangan kerajaan termasuk kredit MyKasih bernilai RM100, penurunan harga petrol RON95, dan cuti umum tambahan juga memulihkan situasi.

Pemain industri seperti Nestle, QL Resources, Leong Hup International dan Power Root dijangka meraih manfaat harga komoditi semakin reda dan penurunan kos input pada separuh kedua tahun ini.

"Namun, ada beberapa risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi, antaranya kemerosotan mendadak dalam pertumbuhan ekonomi global dan lonjakan harga komoditi secara mengejut," kata firma itu.

Begitu juga jelas RHB Research, ketidaktentuan pelan rasionalisasi subsidi RON95, khususnya jika kerajaan menarik balik subsidi daripada pengguna bergaji tinggi, yang berpotensi memberi kesan inflasi.

Justeru, ia menyenaraikan beberapa kaunter pilihan utama dalam sektor produk pengguna, termasuk Mr DIY Group (M), Guan Chong Berhad, Mynews Holdings, Farm Price Holdings dan Focus Point Holdings.

Firma itu menganggap syarikat-syarikat ini ada asas perniagaan kukuh, jangkauan pasaran domestik lebih luas serta potensi pertumbuhan mapan dalam landskap penggunaan semasa. -DagangNews.com













#Belanjawan 2026 #subsidi RON95 #cukai eksais #Sektor produk pengguna