Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Belanjawan 2026: Permintaan tinggi TVET, kerajaan wajar tambah dana PTPK - Sri Ganes

Astro Awani 09/10/2025 | 10:14 MYT
Sri Ganes berkata penambahan dana PTPK akan menampung permintaan semasa selain mampu memacu usaha negara mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir. - Foto Yayasan Mahir Malaysia
KUALA LUMPUR : Kerajaan wajar mempertimbangkan penambahan peruntukan yang signifikan bagi dana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan digesa tambah peruntukan besar untuk PTPK dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sektor TVET dan capai sasaran 35% tenaga kerja mahir menjelang 2030.
  • Permintaan tinggi terhadap TVET terbukti apabila dana RM500 juta habis diagihkan seawal Ogos; reformasi PTPK kini fokus kepada program berimpak tinggi dan tadbir urus telus.
  • Penjimatan dan pelaburan semula selaras dengan NIMP 2030 dan RMK13, bagi memastikan setiap ringgit memberi pulangan optimum serta meningkatkan daya saing institusi TVET swasta.


Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes menegaskan langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tonggak utama pembangunan tenaga kerja mahir negara.

Beliau berkata, penambahan dana PTPK bukan sahaja akan menampung permintaan semasa, malah mampu memacu usaha negara mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

“Permintaan terhadap TVET semakin meningkat apabila peruntukan PTPK sebanyak RM500 juta habis diagihkan seawal Ogos lalu, jelas menunjukkan dana sedia ada sudah tidak mencukupi.

“Ini seharusnya menjadi asas kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2026.

"Selain itu, reformasi PTPK memastikan setiap ringgit tambahan dibelanjakan secara berhemah, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.

Selain itu, Sri Ganes memuji inisiatif PTPK menilai semula kriteria pinjaman, yang menurut beliau menunjukkan kesungguhan kerajaan memperkukuh tadbir urus dan ketelusan dalam ekosistem TVET negara.

Beliau berkata, pendekatan baharu yang memberi keutamaan kepada program berimpak tinggi, menetapkan kriteria berdasarkan penarafan bintang, prestasi bayaran balik pinjaman, serta menumpukan kepada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dan ke atas, menunjukkan kesiapsiagaan sistem TVET negara untuk menguruskan peruntukan lebih besar secara telus dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dakwaan segelintir pihak kononnya pembiayaan PTPK telah dihentikan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya sedang menggalakkan institusi TVET swasta agar menjadi lebih kompetitif dan bertanggungjawab dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Ini adalah masa terbaik untuk pusat-pusat latihan swasta menaik taraf dan menyelaraskan program mereka dengan kategori ‘high’ dan ‘intermediate’ serta beimpak tinggi yang diperlukan industri,” ujarnya.

Beliau menambah, sejak ditubuhkan pada tahun 2006, PTPK kekal menjadi tulang belakang pembiayaan kemahiran di negara ini.

“Anjakan strategik yang dilaksanakan kali ini bakal meletakkan TVET swasta pada landasan yang lebih mampan dan berkualiti tinggi, sekali gus memastikan setiap pelaburan kerajaan memberi pulangan yang lebih berbaloi.

“Syabas diucapkan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Pengerusi PTPK (Rajiv Rishyakaran) serta Ketua Eksekutif PTPK, Mohd Fathullah Mustafa atas kepimpinan mereka dalam memacu agenda reformasi penting ini,” katanya.



#Kementerian Kewangan #TVET #Belanjawan 2026 #Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran