Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Belanjawan 2026: Peruntukan wujudkan mahkamah bergerak akan dimohon - Azalina

Irfan Faruqi 26/08/2025 | 14:15 MYT
Azalina akan memohon daripada Anwar untuk memberikan peruntukan bagi mewujudkan mahkamah bergerak dalam Belanjawan 2026 akan datang. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya akan memohon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan peruntukan bagi mewujudkan mahkamah bergerak dalam Belanjawan 2026 akan datang.


Ringkasan AI
  • Mahkamah bergerak dicadangkan dalam Belanjawan 2026 bagi memudahkan akses keadilan kepada penduduk luar bandar yang sukar ke mahkamah di bandar utama. Cadangan ini telah mendapat persetujuan Ketua Hakim Negara, menunjukkan komitmen institusi kehakiman untuk membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat. Inisiatif ini selari dengan prinsip Kerajaan MADANI untuk memperluas akses keadilan, termasuk menyediakan peguam pendamping di lapangan bersama mahkamah bergerak.


Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), cadangan itu bagi memudahkan urusan berkaitan mahkamah khususnya untuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Saya hendak minta peruntukan daripada Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 untuk diwujudkan mahkamah bergerak. Dalam sesi Dewan Rakyat banyak pendapat-pendapat mengenai keperluan mahkamah bergerak. Kita hendak wujudkan di setiap negeri.

“Saya sudah berjumpa dengan Ketua Hakim Negara dan beliau juga sudah bersetuju. Kalau mahkamah berada di bandar-bandar utama sesuatu daerah, kadang-kadang sukar untuk orang yang tinggal di kawasan luar bandar untuk ke mahkamah.

“Apabila mahkamah pergi ke bawah, dengan adanya pula khidmat bantuan guaman, peguam juga boleh berada di bawah (dekat dengan rakyat). Kita bawa keadilan dan kehakiman kepada rakyat. Ini beza Kerajaan MADANI dengan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan pada 10 Oktober akan datang.







#Belanjawan 2026 #Dewan Rakyat #Ketua Hakim Negara #mahkamah bergerak