Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
BISNES

Belanjawan 2026: RM700 juta perkasa agensi penguat kuasa termasuk SPRM - PM Anwar

Khalis Khadir 10/10/2025 | 12:00 MYT
Anwar berkata, langkah pemerkasaan itu akan dimanfaatkan melalui pengendalian latihan dan perolehan aset pada tahun depan. - Gambar JaPen
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM700 juta untuk memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah pemerkasaan itu akan dimanfaatkan melalui pengendalian latihan dan perolehan aset pada tahun depan.

"Semua agensi itu berjaya mengumpulkan RM15.5 bilion hasil ketirisaan yang berselerak di merata tempat, jadi tidak salah untuk kita menambah RM700 juta kepada mereka,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Jelas Anwar, usaha kerajaan membaiki tatakelola berjaya membantu negara dalam melaksanakan langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel.

Beliau menyifatkan, langkah itu membantu negara mencatat sejarah apabila memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion bagi 2024 dan 2025.

“Rekod dalam sejarah kita dan rantau kita, penalti yang dirampas dan dikutip hampir RM15.5 bilion bagi tahun 2024 dan 2025," jelasnya.

Perdana Menteri berkata, terkini, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.

“Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan. Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion.

"Tidak dapat dinafikan, segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan faktor kelemahan penguatkuasaan," ujarnya.



#Belanjawan 2026 #tatakelola #PDRM #kos sara hidup