GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
BISNES

Belanjawan 2026: Tambah peruntukan untuk promosi, penerangan inisiatif kerja untuk graduan - Belia

Irfan Faruqi 03/10/2025 | 14:00 MYT
Seramai 4,728 graduan UMS yang menamatkan pengajian menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-22. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 perlu menambah peruntukan untuk tujuan promosi dan penerangan inisiatif-inisiatif sedia ada mengenai latihan kemahiran kepada graduan.


Ringkasan AI
  • Syafiqah Khadiron mahu Belanjawan 2026 menambah peruntukan untuk promosi dan penerangan program latihan kemahiran kepada graduan. Program sedia ada tidak sampai secara meluas kepada kumpulan sasaran, sedangkan graduan perlukan latihan industri untuk pengalaman kerja. Ammar Shabil cadang model latihan TalentCorp seperti MySIP diarusperdanakan kerana ia berstruktur, berkualiti dan berbayar, serta bantu graduan tembusi pasaran kerja.


Setiausaha Teknokrat Muda, Syafiqah Khadiron berkata, program sedia ada untuk membantu graduan ke dunia pekerjaan masih tidak disampaikan secara meluas kepada kumpulan sasaran.

“Graduan memerlukan latihan industri dan kemahiran untuk lebih mudah mengumpul pengalaman. Sekarang, graduan bekerja di luar bidang pengajian.

“Saya mahu graduan dapat kemahiran yang lebih agar mereka boleh dapat pengalaman yang lebih. Seterusnya, apabila mereka diterima kerja dalam sesebuah syarikat, mereka sudah pandai buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Jelajah AI MyMahir TalentCorp, Ammar Shabil pula berpandangan, pelbagai program sudah tersedia di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensi-agensi berkaitan.

Pun begitu, beliau mahu program-program itu khususnya, model latihan yang dilaksanakan TalentCorp diberikan keutamaan dalam pembentangan belanjawan akan datang.

“Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) merupakan satu program berstruktur, berkualiti dan berbayar dengan elaun lebih RM1,000. Kita dapatkan syarikat-syarikat untuk daftar dengan MySIP dan kita jadi jambatan kepada graduan.

“Bukan semua graduan ada jaringan yang kuat dengan industri. Ini merupakan salah satu kaedah untuk membolehkan graduan berjinak dengan pasaran kerja. Diharapkan dalam Belanjawan 2026 ini, model Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) boleh diarusperdanakan,” uajrnya.

Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan pada 10 Oktober akan datang.





#Belanjawan 2026 #graduan #peluang pekerjaan #KESUMA