23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
BISNES

Belanjawan 2026: Tiada siapa akan terpinggir daripada terima manfaat - Ramanan

Bernama 05/10/2025 | 10:31 MYT
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menjawab pertanyaan media pada program sumbangan Deepavali Vanakam MADANI hari ini. - Foto Bernama
SUNGAI BULOH: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yakin tiada sesiapa akan dipinggirkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini.


Ringkasan AI
  • Belanjawan 2026 dijangka inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kaum, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R. Ramanan, sambil menegaskan prinsip Kerajaan MADANI berkhidmat untuk semua rakyat.
  • KUSKOP telah kemukakan permohonan kepada MOF, dengan harapan belanjawan akan terus mengutamakan pembangunan PMKS, koperasi, francais dan sektor informal.
  • Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI bernilai hampir RM2 juta dilancar, memberi manfaat kepada 16,600 keluarga B40 di seluruh negara menjelang sambutan Deepavali pada 20 Oktober.


Beliau berkata permohonan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini, susulan perbincangan bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta pegawai kanan.

"Kita akan menunggu pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seperti yang selalu kita tekankan, tiada sesiapa yang akan dipinggirkan.

"Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita mahukan jumlah tertentu untuk komuniti India, Cina atau Melayu (secara berasingan). Dalam Kerajaan MADANI, kami berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, kaum atau agama," katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi "Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI" peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ewon menzahirkan harapan agar belanjawan tahun hadapan akan terus mengutamakan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi, serta sektor francais, perusahaan informal dan mikro.

Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI melibatkan sumbangan hampir RM2 juta termasuk sokongan logistik, melalui kerjasama Perdana Menteri, KUSKOP dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Sebanyak 16,600 keluarga kurang berkemampuan dan B40 di seluruh negara, katanya akan menerima manfaat daripada inisiatif itu bagi meringankan beban mereka sempena perayaan, dengan tambahan 1,000 penerima dari kawasan Parlimen Sungai Buloh di bawah peruntukan beliau sendiri.

Sebagai simbolik pada majlis itu, Ramanan turut menyampaikan bakul makanan kepada 50 keluarga di sini dengan setiap bakul mengandungi beras, minyak masak, tepung muruku, tepung adhirasam (denderam), kacang dal dan minyak bijan iaitu barangan yang sinonim dengan sambutan Deepavali, yang akan diraikan pada 20 Okt ini.

-- BERNAMA





#Belanjawan 2025 #kaum india #Anwar Ibrahim #r ramanan