PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal yang berhemah dalam Belanjawan 2027 supaya dapat mengembalikan hasil kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penjimatan hasil daripada penambahbaikan tadbir urus dan usaha membendung ketirisan akan disalurkan semula kepada rakyat selaras dengan keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara tanpa menjejaskan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun kadar inflasi Malaysia sekitar dua peratus, iaitu antara yang terendah di dunia, tekanan kos sara hidup masih dirasai rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu.
“Apabila orang bertanya mengapa perkara ini tidak dapat dilakukan dua tahun lepas? Kita perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu. Kita perlu menangani hutang, berjimat dan menentukan keutamaan,” kata beliau dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027 yang disiarkan RTM malam ini.
Beliau berkata kerajaan juga perlu mengimbangi keperluan mengurangkan hutang dan mengawal perbelanjaan dengan keperluan meningkatkan peruntukan bagi sektor kritikal seperti pertahanan, perumahan anggota tentera dan polis serta kemudahan sekolah.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan memberikan nilai ekonomi dan sosial yang lebih besar kepada rakyat.
Anwar berkata ruang fiskal kerajaan kini bertambah baik hasil pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin, namun penjimatan tersebut perlu dilindungi daripada kembali terhakis akibat ketirisan dan pembaziran.
Beliau berkata kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan kerajaan menyediakan bantuan seperti kasut sukan untuk murid sekolah, selain elaun dan sokongan pendapatan minimum kepada pekebun kecil getah serta pesawah.
“Ini semua boleh dilakukan apabila kita mengurus kewangan dengan baik dan memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” tegas beliau.
Perdana Menteri berkata strategi ekonomi kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI), namun pembangunan tersebut perlu disertai langkah meningkatkan pendapatan dan produktiviti rakyat.
“Pelaburan, IT dan AI ialah perkara yang (merujuk kepada tema) kita cuba gapai di langit tetapi mengakar di bumi bermaksud melihat soal gaji, harga barang, keperluan orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yang tidak mendapat kemudahan asas,” kata beliau.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan pengurangan jurang pendapatan, bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Anwar berkata kerajaan juga akan terus mengambil kira keperluan pembangunan sosial dan budaya dalam perancangan ekonomi, termasuk latihan pendidikan Islam serta bantuan kepada masyarakat bukan Islam bagi penyelenggaraan rumah ibadat.
Beliau mengakui Belanjawan 2027 tidak mampu menyelesaikan semua masalah ekonomi, namun menegaskan dasar fiskal kerajaan akan memberi keutamaan kepada pengurangan beban kumpulan yang paling terkesan oleh tekanan kewangan.
Selain itu, Anwar menjelaskan sebahagian harga barangan dipengaruhi faktor luaran dan pasaran global, contohnya kos baja fosfat yang diimport melalui Selat Hormuz susulan krisis Asia Barat.
Menurut beliau, perubahan harga komoditi, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa boleh memberi kesan langsung kepada harga domestik sekali gus mengehadkan keupayaan kerajaan untuk mengawal semua harga secara langsung.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih boleh mengurangkan tekanan harga melalui langkah memperkemas rantaian bekalan, memperluas pasar tani dan meningkatkan penjualan barangan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.
Justeru, Anwar berkata bantuan dan kemudahan kepada rakyat akan disediakan berdasarkan kemampuan kewangan negara, dengan pendekatan lebih bersasar bagi memastikan sumber awam tidak dibazirkan.
Beliau turut memberikan contoh keputusan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat sebagai langkah melindungi pendapatan boleh guna isi rumah.
Beliau berkata harga minyak yang digunakan dalam unjuran awal kerajaan ialah US$70 setong, namun meningkat kepada kira-kira US$110 setong, sedangkan harga petrol RON95 kekal RM1.99 seliter.
Anwar berkata keputusan itu mencerminkan keperluan kerajaan mengimbangi tekanan fiskal akibat subsidi dengan keperluan mengekalkan kestabilan kos pengangkutan dan kuasa beli rakyat.
“Akhirnya, dalam mengurus ekonomi negara, pendapatan dan kehidupan rakyat biasa menjadi perkiraan,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan dasar berdasarkan kemampuan fiskal negara, dengan tumpuan kepada pengukuhan ekonomi, peningkatan produktiviti, pengurangan ketirisan dan perlindungan terhadap golongan yang paling terkesan oleh tekanan kos sara hidup.
Semalam, Anwar membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada GLIC; sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.
Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.
-- BERNAMA