KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 perlu menjadi pemangkin untuk mempercepatkan peralihan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pengkomersialan teknologi tempatan, penerimaan industri serta penciptaan nilai ekonomi bernilai tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad, Saat Shukri Embong, berkata pelaburan dalam R&D perlu diterjemahkan kepada teknologi buatan Malaysia yang boleh dimanfaatkan industri, meningkatkan daya saing negara dan memberikan manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, Malaysia telah membangunkan keupayaan yang signifikan dalam R&D, teknologi dan inovasi, namun langkah seterusnya adalah memastikan keupayaan itu menghasilkan pulangan komersial, harta intelek (IP) tempatan yang lebih kukuh serta impak ekonomi yang nyata.
“Kita perlu melangkah daripada sekadar menjadi pengguna kepada pembangunan dan penghasilan teknologi untuk kebaikan masyarakat serta industri di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada sesi temu bual khas Belanjawan 2027 di MIMOS Berhad, di sini, baru-baru ini.
Belanjawan 2027 memperuntukkan RM6 bilion bagi aktiviti R&D dan pengkomersialan merentas kementerian. Selain itu, Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM1.2 bilion bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan beralih kepada segmen bernilai lebih tinggi.
Saat Shukri berkata peruntukan itu membuka peluang untuk menghubungkan keupayaan penyelidikan dengan keutamaan industri negara dan permintaan pasaran, sekali gus memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia melalui pembangunan keupayaan sendiri.
“Matlamat kita bukan sekadar membangunkan lebih banyak teknologi, tetapi menghasilkan teknologi yang boleh diterima pakai, diperluas penggunaannya dan dimanfaatkan industri untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing.
“Inilah cara pelaburan R&D akhirnya mencipta nilai kepada ekonomi Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MIMOS Berhad, Abdul Rashdee Abdul Kadir, berkata penerimaan teknologi perlu menyelesaikan cabaran sebenar perniagaan dan industri, selain menghasilkan peningkatan produktiviti yang boleh diukur.
“Cabaran utama ialah memastikan teknologi itu benar-benar digunakan dan memberikan hasil.
“Kita perlu menilai sama ada teknologi itu dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos atau meningkatkan kualiti dan produktiviti. Penyelesaian perlu diuji dan hasilnya diukur sebelum diperluas,” ujarnya.
Belanjawan 2027 turut merangkumi dana RM30 juta daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta mengautomasikan operasi mereka. Inisiatif itu turut melibatkan latihan dan pensijilan 5,000 profesional AI.
Menurut Abdul Rashdee, pendekatan yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan penting bagi menghubungkan pembangun teknologi dengan syarikat yang boleh memanfaatkan penyelesaian berkenaan.
“Kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah teknologi yang dibangunkan, tetapi sejauh mana teknologi itu diterima pakai, dilaksanakan dan diperluas penggunaannya.
“Laluan R&D ke industri yang lebih kukuh akan membolehkan syarikat Malaysia memperoleh nilai lebih besar daripada pelaburan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Turus Kumpulan MIMOS Berhad, Nurezmy A. Majid, berkata pembangunan teknologi memerlukan ekosistem yang terselaras, melibatkan kerajaan, industri, akademia dan institusi R&D.
“Pembangunan teknologi tidak boleh berlaku secara terasing.
“Malaysia memerlukan ekosistem yang kukuh dan saling berhubung dengan dasar, R&D, permintaan industri, pembangunan bakat dan pengkomersialan bergerak seiring,” katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2027 menyediakan peluang untuk memperkukuh hubungan antara institusi penyelidikan dengan industri, pelaburan dan laluan pembangunan bakat supaya teknologi berpotensi dapat bergerak daripada peringkat pengesahan kepada penerimaan dan pengembangan skala.
Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan MIMOS Berhad, Zulaikha Kadim pula berpandangan, Malaysia perlu terus membangunkan keupayaan teknologi strategik, khususnya dalam bidang AI, semikonduktor dan teknologi digital.
Menurut beliau, Belanjawan 2027 mengenal pasti teknologi kuantum sebagai bidang kemahiran masa hadapan.
Belanjawan itu turut menyatakan bahawa Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membangunkan teknologi kriptografi pascakuantum tempatan bagi melindungi data daripada ancaman komputer kuantum.
“Peluangnya bukan sekadar menerima pakai teknologi yang dibangunkan di tempat lain.
“Kita juga perlu memperkukuh keupayaan untuk membangunkan, mengesahkan dan mengkomersialkan teknologi yang mempunyai IP Malaysia serta mampu bersaing di peringkat serantau dan global,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Perancangan dan Strategi Korporat Kumpulan MIMOS Berhad, Hazian Mamat, berkata pelaburan teknologi perlu dikaitkan dengan hasil ekonomi yang jelas dan boleh diukur, termasuk peningkatan produktiviti, pengkomersialan, pekerjaan bernilai tinggi serta pengukuhan syarikat tempatan.
“Pendekatan berasaskan hasil penting bagi memastikan setiap pelaburan dalam inovasi menyumbang secara bermakna kepada daya saing jangka panjang Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kemajuan strategi teknologi negara juga perlu dinilai dalam jangka panjang, dengan memberi tumpuan kepada kesinambungan laluan daripada R&D kepada pengkomersialan, penerimaan teknologi serta pembangunan bakat yang diperlukan bagi mengekalkan daya saing Malaysia dalam sektor teknologi strategik.
Secara keseluruhan, MIMOS melihat Belanjawan 2027 sebagai peluang untuk memperkukuh laluan daripada R&D kepada pengkomersialan, memperluas penggunaan teknologi tempatan, membangunkan IP Malaysia dan mewujudkan peluang ekonomi bernilai lebih tinggi.
Kejayaan pelaburan teknologi, menurut MIMOS, akhirnya perlu dinilai berdasarkan impak dunia sebenar melalui pengkomersialan, produktiviti, daya saing industri, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi dan nilai ekonomi negara yang mampan.