KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperluaskan pasaran eksport Malaysia serta memperkukuh prestasi eksport negara menerusi inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2027.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui pelaksanaan inisiatif pengukuhan eksport menerusi Program Pembinaan Kapasiti Eksport bernilai RM60 juta dan Dana Pengukuhan Eksport dan Pempelbagaian Pasaran bernilai RM50 juta.
Beliau berkata inisiatif itu turut disokong oleh kemudahan pembiayaan bernilai RM1 bilion daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan RM10 juta menerusi EXIM Bank.
“Melalui pelaksanaan 200 aktiviti promosi eksport, program ini bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,500 syarikat tempatan dengan sasaran jualan eksport mencecah RM12 bilion menjelang akhir 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Sim berkata usaha memudah cara perniagaan turut dipertingkatkan menerusi kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) bagi mengurangi kerenah birokrasi.
Katanya, ini merupakan antara usaha reformasi peraturan yang setakat ini telah berjaya menjimatkan kos pematuhan industri sebanyak RM3.71 bilion dan mempercepatkan kelulusan lesen perniagaan.
Dalam pada itu, beliau berkata MITI turut memberi tumpuan kepada usaha pembangunan kluster perindustrian wilayah yang berdaya maju bagi kepentingan pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara.
Sim berkata, pelaksanaan inisiatif yang menyeluruh dan bersepadu itu diyakini mampu melonjakkan profil Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau yang unggul serta sebagai hab perdagangan global yang mampan.
“Fokus tersebut merangkumi inisiatif strategik kementerian dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan hab automotif dan maritim di Perak, serta memperkukuh ekosistem teknologi cip semikonduktor di Pulau Pinang dan Kedah.
“Selain itu, ia turut melibatkan pembesaran infrastruktur koridor perdagangan di Perlis dan kerangka perancangan Zon Ekonomi Khas di Sibu, Sarawak,” tambahnya.
-- BERNAMA