Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Penjimatan dan ketirisan dibendung, hasil kerajaan dipulangkan kepada rakyat - Anwar

Anwar pada Program Khas Belanjawan MADANI 2027 di Kompleks Seri Perdana hari ini.  - Gambar Bernama
Anwar pada Program Khas Belanjawan MADANI 2027 di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Belanjawan 2027 merupakan hasil pengurusan kewangan negara yang baik, dengan penjimatan yang diperoleh kini dapat dipulangkan semula kepada rakyat dan bukan hanya dinikmati golongan tertentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata kerajaan perlu menyelesaikan keutamaan kewangan negara terlebih dahulu, sebelum mempunyai keupayaan lebih besar untuk menyalurkan hasil penjimatan kepada rakyat.

“Sebab itu orang tanya saya, kenapa tidak boleh buat dua tahun yang lalu? Kita ambil dan kita selesaikan ikut urutan keutamaan iaitu yang disebut awlawiyah yang utama kena betulkan dahulu.

“Wang mesti dijimatkan, jangan boros, jangan hilang, jangan tiris…sekarang dah terkumpul, Jadi daripada terkumpul itu, boleh pulang kepada rakyat, bukan pulang kepada elaun menteri,” kata beliau dalam wawancara khas Belanjawan MADANI 2027, di sini hari ini.

Anwar berkata amalan tatakelola yang baik membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif kepada rakyat termasuk pemberian kasut sukan serta bantuan kepada pekebun getah dan pesawah.

Beliau berkata pendekatan itu, merupakan asas kepada pengukuhan tatakelola kerajaan yang membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini perlu memberi tumpuan kepada pengurusan hutang dan keperluan mendesak, termasuk kemudahan sekolah serta perumahan anggota tentera dan polis.

Anwar berkata hasil penjimatan yang berjaya dicapai kini, memberi sedikit ruang tambahan kepada kerajaan untuk meningkatkan bantuan rakyat, namun usaha itu perlu disertai disiplin kewangan yang berterusan.

“Dan sekarang ini, saya katakan, kita ada keupayaan yang lebih sikit. Tapi syarat, jangan izinkan lagi bocor semula,” kata beliau.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam, Anwar mengumumkan manfaat kepada rakyat antaranya peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion, dengan semua penerima STR menerima SARA hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Selain itu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI sejumlah RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan bersempena dengan sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

Perdana Menteri berkata kedua-dua bantuan itu masing-masing akan memanfaatkan hingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Bantuan Awal Persekolahan juga ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM150 tahun ini, dengan peruntukan RM1 bilion yang memanfaatkan sejumlah 5.3 juta murid.

Kerajaan turut akan menyalurkan bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara susulan hasil penjualan nombor pendaftaran khas H.

Bantuan itu akan disalurkan pada minggu hadapan, sebagai antara langkah memulangkan hasil berkenaan kepada rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement