KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini bakal memberikan 'durian runtuh' kepada semua segmen lapisan masyarakat dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini hasil daripada dasar-dasar ekonomi Malaysia yang melonjakkan prestasi ke tahap membanggakan.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkemampuan untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat termasuklah dalam bentuk tunai hasil daripada penjimatan perbelanjaan negara dan institusi ekoran amalan anti-sakau yang dijalankan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu, Prof Mohd Izani Mohd Zain berkata, Belanjawan tahun hadapan akan lebih berorientasikan kebajikan rakyat selain usaha berterusan untuk memperkukuhkan perbelanjaan pembangunan bagi menangani tekanan kos sara hidup dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
"Rakyat akan mula menikmati habuan yang lebih besar hasil pembangunan negara lebih tiga tahun Anwar menjadi perdana menteri dan Kerajaan MADANI pastinya mahu rakyat terutama golongan bawahan turut merasai hasil kemajuan yang dicapai.
"Saya kira satu khabar gembira buat rakyat Malaysia kerana melalui bantuan-bantua ini, rakyat dibantu dan dapat diringankan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Penganalisis Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, Belanjawan 2027 dijangka memberi penekanan lebih besar kepada kebajikan rakyat menerusi peningkatan bantuan bersasar, di samping memperkukuhkan perbelanjaan pembangunan bagi menangani tekanan kos sara hidup dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Mustazar Mansur berkata, berkata belanjawan akan datang berkemungkinan menampilkan pendekatan lebih mesra rakyat, dengan fokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan susulan peningkatan kos makanan, pendidikan, kesihatan serta perbelanjaan harian.
Dalam pada itu, Mohd Izani berharap bantuan ini bukan sekadar bantuan biasa dalam jangka masa pendek tetapi boleh membantu rakyat berdikari dan meningkatkan sumber pendapatan hidup dengan lebih lestari untuk jangka masa panjang.