KUCHING: Bantuan khusus buat pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta akan diumumkan dalam Belanjawan Sarawak 2024, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata belanjawan itu bakal dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula dari 20 hingga 29 Nov ini.

Menurutnya berdasarkan kepada data kerajaan negeri, dianggarkan 5,000 pelajar Sarawak di IPT awam dan swasta yang perlu dibantu setiap tahun termasuk daripada golongan berpendapatan rendah B40.

"Kita tahu bahawa banyak benda atau keperluan yang harus pelajar miliki (beli) dan harga barang ini juga agak tinggi.

"Buku teks mereka juga agak mahal, jadi kita akan berikan bantuan buku teks buat pelajar selain ada beberapa lagi bantuan yang akan saya umumkan nanti (dalam Belanjawan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Pameran LATerasi Kewangan Bank Negara Malaysia 2023 di sini hari ini.

-- BERNAMA