Skip to main content

Bisnes

Belgium berminat jalin kerjasama dengan Malaysia dalam tenaga luar pesisir - TPM Belgium

Fadillah Yusof_FB Fadillah Yusof
Prevot tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari dan merupakan lawatan kerja pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Februari 2025. - Facebook Fadillah Yusof
Advertisement

KUALA LUMPUR: Belgium berminat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang tenaga luar pesisir dengan memanfaatkan kepakarannya dalam sektor tersebut ketika kedua-dua negara melaksanakan peralihan kepada tenaga hijau.

Timbalan Perdana Menteri Belgium yang juga Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Maxime Prévot berkata tenaga luar pesisir adalah antara sektor yang mempunyai potensi kukuh untuk kerjasama dua hala selain semikonduktor, logistik, ujian klinikal, penyelidikan dan pembangunan bioteknologi serta farmaseutikal.

“Terdapat peluang besar untuk bekerjasama antara Belgium dan Malaysia dalam tenaga luar pesisir,” katanya kepada Bernama di luar sesi Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini hari ini.

Prévot berkata walaupun hanya mempunyai garis pantai sepanjang 60 kilometer, Belgium telah membangunkan ladang angin luar pesisir yang mampu menjana dua gigawatt tenaga elektrik.

“Kami telah membangunkan ladang angin luar pesisir yang membekalkan dua gigawatt tenaga elektrik kepada penduduk.

“Kami turut berhasrat meningkatkan kapasiti itu kepada enam hingga tujuh gigawatt dalam beberapa tahun akan datang bersamaan dengan lima hingga tujuh loji tenaga nuklear,” katanya.

Prévot menegaskan bahawa langkah meningkatkan kapasiti tenaga angin luar pesisir mencerminkan komitmen Belgium terhadap keselamatan tenaga dan penyahkarbonan.

Dalam ucapan pada forum tersebut, beliau berkata Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya merancang untuk menggerakkan dana berjumlah €10 bilion (€1=RM4.65) di bawah Global Gateway Strategy untuk menyokong Grid Tenaga ASEAN dan peralihan tenaga di rantau ini.

Prévot berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen EU untuk melabur dalam pembangunan jangka panjang, mampan dan bermanfaat pada peringkat tempatan selain memperkukuh kesalinghubungan dan daya tahan serantau.

Katanya dengan menyelaraskan strategi, Eropah dan ASEAN boleh mewujudkan pertumbuhan yang mampan selain memperkukuh daya tahan rantau ini dan kerjasama yang lebih baik dalam tenaga bersih akan turut membantu mempercepat peralihan hijau.

Prevot tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari dan merupakan lawatan kerja pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Februari 2025.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Belgium berjumlah RM9.74 bilion pada 2025, terdiri daripada RM6.85 bilion eksport Malaysia dan RM2.89 bilion dalam import.

Sehingga 2025, sebanyak 67 projek dengan penyertaan Belgium telah diluluskan, melibatkan pelaburan bernilai RM5.1 bilion dengan potensi mewujudkan 4,605 ​​pekerjaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement