Beli hartanah? Liputan jalur lebar jadi pertimbangan utama - PropertyGuru

Astro Awani
April 20, 2021 08:51 MYT
Selain liputan jalur lebar, antara perkara lain menjadi pertimbangan utama pembeli hartanah adalah akses pengangkutan, pelaksanaan projek mega serta pengaliran udara dalam rumah. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Liputan jalur lebar menjadi antara kriteria penting kepada majoriti pembeli hartanah pada tahun lalu.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, berikutan pandemik COVID-19, majoriti rakyat Malaysia terpaksa bekerja dan menjalankan urusan perniagaan dari rumah secara dalam talian.
"Salah satu faktor apabila bekerja dari rumah adalah jaringan yang baik untuk bekerja dengan sempurna.
"Suasana persekitaran turut menjadi faktor penting - termasuk keselamatan dan pencemaran bunyi. Pengaliran udara yang baik menjadi antara penemuan dalam kaji selidik.
"Mereka tidak mahu berada di dalam kediaman yang tertutup, sebaliknya mempunyai ruang untuk bernafas dengan baik, sekali gus menjadi perkara utama yang dipertimbang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi webinar berkenaan unjuran pasaran hartanah serta tinjauan pandangan oleh PropertyGuru Separuh Kedua 2021.
Beliau pada masa sama memuji keputusan kerajaan yang tidak menghentikan pelaksanaan projek mega walaupun negara dilanda pandemik COVID-19.
Ia sedikit sebanyak membantu pertumbuhan sektor hartanah di negara ini.
"Apa yang membantu kepada ini adalah projek mega, terutama projek MRT yang tidak ditangguhkan, sebaliknya berterusan.
"Ini perkara baik yang dilakukan kerajaan, iaitu memastikan projek seperti ini terus berjalan.
"Jadi ia akan membantu persaingan pertumbuhan infrastruktur, jaringan di sesuatu kawasan serta jadi penghubung kepada pelbagai destinasi," katanya.
Pada sesi sama, PropertyGuru turut memaklumkan kedudukannya sebagai laman web hartanah nombor 1 di Malaysia, meningkatkan pegangan pasarannya kepada 63 peratus berdasarkan data purata enam bulan sejak Oktober 2020 hingga Mac 2021.
Selain itu, PropertyGuru juga kekal sebagai laman web hartanah ‘Paling Digemari’, mencatat purata kunjungan bulanan lebih 12 juta sejak Januari hingga Mac 2021.
#hartanah #Infrastruktur #PropertyGuru Malaysia #PropertyGuru #Sheldon Fernandez #projek mega #liputan jalur lebar #jaringan internet #COVID-19 #pandemik #keselamatan