Berita Terkini ASEAN25: Negara anggota ASEAN teroka kerjasama serantau dalam unsur nadi bumi - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, antara langkah untuk mencapai matlamat ini termasuklah berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik antara negara anggota. - Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN sedang mengambil langkah meneroka kerjasama serantau mengenai unsur nadir bumi (REE), dengan negara-negara anggota meneliti kaedah untuk blok Asia Tenggara dapat memanfaatkan sumber semula jadinya secara kolektif.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah untuk mencapai matlamat ini termasuklah berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik antara negara anggota, selain mengkaji teknologi yang boleh melengkapkan dan memperkukuh industri domestik di rantau ini.
"Buat masa ini, kita baru sahaja mencapai persefahaman mengenai cara kita dapat bekerjasama pada masa depan berkaitan REE.
"Menteri yang bertanggungjawab mengenai REE telah mengkaji cara untuk kita dapat berkongsi pengetahuan, berkongsi amalan terbaik dalam perkara ini dan bagaimana teknologi dapat melengkapi industri kita," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 hari ini.
Walaupun tiada garis masa yang ditetapkan, Tengku Zafrul berkata satu deklarasi telah dipersetujui untuk membimbing kerjasama pada masa depan.
Tengku Zafrul berkata AECC telah mengeluarkan satu deklarasi mengenai Visi Pembangunan Mineral ASEAN yang menggariskan matlamat ASEAN untuk menjadi destinasi utama pelaburan mineral termasuk mineral penting.
Katanya visi itu bertujuan memperkukuh pengeluaran dan perdagangan melalui kemajuan teknologi, tadbir urus yang baik dan amalan terbaik yang mampan.
Menurut laporan berita, ASEAN mempunyai anggaran 40-45 juta tan rizab REE, menjadikan blok itu hampir dengan China yang berjumlah 44 juta tan.
Pada 22 Oktober, Tengku Zafrul berkata Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dengan anggaran simpanan REE sebanyak 1.6 juta tan dan terbuka kepada syarikat asing untuk mewujudkan usaha sama dengan syarikat tempatan bagi membangunkan mineral nadir bumi di Malaysia.
Seorang penganalisis berkata dalam membina ASEAN menjadi kuasa besar sebenar dalam REE, rantau ini perlu beralih daripada dua hala kepada kerjasama serantau yang bersepadu.
Beliau turut mencadangkan rangka kerja lima tonggak termasuk Majlis Nadir Bumi ASEAN (AREC), sistem pensijilan dan kebolehkesanan bersama, Pelan Infrastruktur Koridor REE, Penyelidikan dan Pembangunan Bersama serta Pembangunan Tenaga Kerja dan dialog strategik dengan China, Jepun, Korea dan Kesatuan Eropah.
"Membina ASEAN menjadi kuasa besar REE bukan sekadar mengenai geologi - ia merupakan ujian terhadap keazaman politik, visi dan imaginasi serantau," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

