Skip to main content

Bisnes

Bersama tawar Belanjawan Bayangan 2027, sedia cabar dasar fiskal Putrajaya

[TB]_PC Rafizi 3_YOUTUBE RAFIZI RAMLI
Menurut Rafizi, dokumen berkenaan akan disertakan dengan anggaran pembiayaan sebenar (costing) bagi setiap cadangan bagi membuktikan keupayaan pelaksanaannya kepada rakyat. - Foto YouTube Rafizi Ramli
Advertisement

PUCHONG: Parti Bersama mengumumkan bakal membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada 6 Oktober depan, iaitu tiga hari sebelum pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Pengasas bersama parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pembentangan belanjawan alternatif itu bertujuan membawa budaya politik baharu berasaskan disiplin fiskal dan pertembungan idea dasar berbanding sekadar taburan janji manifesto.

Menurut beliau, dokumen berkenaan akan disertakan dengan anggaran pembiayaan sebenar (costing) bagi setiap cadangan bagi membuktikan keupayaan pelaksanaannya kepada rakyat.

"Kalau kita tengok, kebiasaannya ialah dalam manifesto ataupun dalam segala pengumuman budaya di Malaysia ialah dia tidak menetapkan atau mengurangkan pembiayaan, there's no element of costing yang umum saja nak buat itu, nak buat ini.

"Satu penambahbaikan yang Bersama kembangkan ialah disiplin kami sendiri untuk memastikan setiap program yang kami cadangkan itu mestilah disertakan dengan costing dan pembiayaan. Oleh sebab itu, Belanjawan Bayangan itu adalah penting kerana dia membolehkan orang ramai menilai sendiri kemampuan kewangan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.  


Bagi memperkukuh perangkaan dasar dan belanjawan alternatif berkenaan, Bersama turut memperkenalkan enam tokoh profesional dan pemikir bebas pelbagai latar belakang yang dilantik menganggotai Panel Dasar Bersama.

Kumpulan pertama panel pemikir bebas itu dibarisi bekas Pengerusi MDEC dan mantan CEO MRANTI yang juga pengasas EMIR Research, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff; serta pakar undang-undang Islam dan perbankan syariah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam, Prof Madya Dr Ibnor Azli Ibrahim.

Turut menganggotai panel berkenaan ialah pakar perunding perubatan dalaman dan penjagaan warga emas berpengalaman lebih 25 tahun, Dr Feizal Fakurruddin; pakar kepimpinan pendidikan yang juga bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB) selama 26 tahun, Dr Hamidon Abdul Rahman; serta penganalisis ekonomi dan mantan Pengarah Eksekutif SEDAR, Khoo Kay Peng.

Melengkapkan barisan panel tersebut ialah bekas pegawai kawal selia perbankan Bank Negara Malaysia (BNM) dan perunding ESG, John Lee Von Leon.
Mengulas mengenai cadangan sistem percukaian semasa, John Lee menyelar langkah kerajaan yang berhasrat menggabungkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bersama Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baru-baru ini.

"Dua minggu lalu, Datuk Seri Anwar mencadangkan untuk buat GST dengan SST. Jadi cadangan itu, kita rasa dia sangat mengelirukan terutamanya kepada pihak perniagaan dan pihak rakyat sebab compliance dan penilaian teks ini tidak jelas.  


"Jadi untuk pihak kastam atau pihak LHDN, adalah merupakan sangat susah untuk mereka membuat penyediaan di mana compliance betul-betul pihak bisnes akan comply atau tidak, dan apakah perkhidmatan yang patut didapat untuk input kredit ataupun yang tidak eligible. Banyak perkara yang memang tak jelas dalam kenyataan itu," tegas John Lee.  


Beliau menambah, Belanjawan Bayangan 2027 itu kelak akan mengemukakan pelan alternatif yang lebih mampan untuk merombak struktur percukaian dan hasil negara tanpa terus mengulangi pendekatan lapuk yang tidak menyelesaikan isu fiskal secara menyeluruh.  
 

Must Watch Video

Advertisement