BISNES
Bilangan penganggur terus catat penurunan pada Mei 2025 - DOSM

Mohd Uzir berkata pasaran buruh dijangka terus berkembang dan kekal berdaya tahan dengan sokongan dasar kerajaan. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Bilangan penganggur di Malaysia terus mencatatkan penurunan pada Mei 2025 kepada 522,400 orang, berbanding 525,900 orang pada April 2025, sementara kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus,
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 17.38 juta orang, dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.8 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah penduduk bekerja juga bertambah 0.3 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta orang pada April 2025.
“Pasaran buruh negara pada Mei 2025 menunjukkan daya tahan dan penyesuaian yang baik terhadap perubahan ekonomi global dan teknologi," katanya.Pekerja merupakan kategori terbesar dalam kalangan penduduk bekerja, merangkumi 75.1 peratus atau 12.66 juta orang. Penduduk bekerja sendiri meningkat kepada 3.18 juta orang.
Dari segi sektor, sektor Perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan berterusan, terutama dalam subsektor penginapan, makanan & minuman, perdagangan, serta pengangkutan & penyimpanan.
Sektor Pembuatan, Pembinaan, Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian turut mencatatkan peningkatan.
Penganggur aktif yang sedang mencari pekerjaan berkurang sebanyak 0.5 peratus kepada 416,400 orang, manakala penganggur tidak aktif menurun 1.2 peratus kepada 106,000 orang.
Kadar pengangguran belia (15–24 tahun) turun kepada 10.2 peratus, sementara kadar bagi belia 15–30 tahun kekal pada 6.2 peratus.
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh turut meningkat 0.1 peratus kepada 7.18 juta orang, kebanyakannya disebabkan tanggungjawab keluarga dan pengajian.
“Pasaran buruh dijangka terus berkembang dan kekal berdaya tahan dengan sokongan dasar kerajaan, kestabilan makroekonomi dan pelaburan dalam modal insan,” tambah beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami