BISNES

Bitcoin catat rekod baharu, cecah AS$120,000 pada permulaan ‘crypto week’

Astro Awani 14/07/2025 | 05:15 MYT
Bitcoin melepasi paras AS$120,000 buat kali pertama, didorong oleh jangkaan pelabur terhadap tiga rang undang-undang kripto yang dibahaskan di Kongres AS. -Gambar fail/Amanz
SINGAPURA: Bitcoin mencatat pencapaian bersejarah apabila melepasi paras AS$120,000 buat kali pertama pada Isnin, didorong oleh jangkaan pelabur terhadap dasar mesra kripto yang bakal dibahaskan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) minggu ini.


Ringkasan AI
  • Bitcoin melepasi paras AS$120,000 buat kali pertama, didorong oleh jangkaan pelabur terhadap tiga rang undang-undang kripto yang dibahaskan di Kongres AS.
  • Presiden Donald Trump menyokong penuh dasar pro-kripto dan mengumumkan penubuhan Rizab Strategik Bitcoin sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi digital pentadbirannya.
  • Kenaikan harga Bitcoin turut melonjak pasaran kripto lain dan dijangka terus meningkat, dengan ramalan teknikal menyasarkan paras psikologi seterusnya pada AS$130,000.


Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.

Kenaikan mendadak ini berlaku seiring dengan permulaan crypto week di Dewan Perwakilan AS, di mana tiga rang undang-undang (RUU) utama akan dibincangkan, lapor Reuters.

RUU tersebut ialah Akta GENIUS berkaitan stablecoin, Akta CLARITY untuk struktur pasaran aset digital, dan Akta Anti-CBDC Surveillance State bertujuan menghalang pengeluaran mata wang digital bank pusat.

Presiden Donald Trump, yang menggelarkan dirinya sebagai “presiden kripto,” telah menyuarakan sokongan penuh terhadap RUU tersebut dan menyeru agar peraturan sedia ada dirombak bagi memberi laluan kepada inovasi aset digital.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Rizab Strategik Bitcoin negara sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi digital pentadbirannya.

Bitcoin (BTC) melonjak ke paras tertinggi AS$121,207.55 dalam sesi dagangan Asia sebelum stabil pada AS$120,856.34, meningkat 1.5 peratus dalam tempoh 24 jam terakhir.

Sepanjang tahun ini, BTC telah meningkat sebanyak 29 peratus, dengan lonjakan besar berlaku sejak kemenangan Trump dalam pilihan raya dan pengumuman dasar pro-kripto oleh White House.

Kenaikan ini turut mencetuskan gelombang positif dalam pasaran kripto lain, termasuk Ether (ETH) yang mencecah paras tertinggi lima bulan pada AS$3,048.23 dan kini didagangkan sekitar AS$3,036.24.

Nilai keseluruhan pasaran kripto kini mencecah AS$3.78 trilion, menurut data CoinMarketCap.

Penganalisis menjangkakan kelulusan RUU GENIUS dan CLARITY akan memperkukuh legitimasi aset digital di AS, menarik lebih banyak pelaburan institusi dan mempercepatkan integrasi kripto dalam sistem kewangan tradisional.

Dengan sokongan politik yang semakin kukuh dan minat pelabur yang meningkat, Bitcoin kini berada di landasan untuk menembusi paras psikologi seterusnya pada AS$130,000, menurut ramalan teknikal semasa.










#Bitcoin #Donald Trump #White House #rang undang-undang kripto #Rizab Strategik Bitcoin #Akta GENIUS #Akta CLARITY