KUCHING: Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang merangkumi pelbagai inisiatif termasuk pengecualian bayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) banyak membantu golongan itu mengharungi waktu sukar pandemik COVID-19.

Bagi peniaga di Kampung Boyan, Kuching, Muhamad Hidayat Ibrahim, 40, bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri itu bagai memberi 'nafas' di sebalik kebimbangan untuk  meneruskan kesinambungan perniagaan ketika sektor ekonomi ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Katanya, dahulu perniagaan aksesori telefon miliknya mempunyai pendapatan yang stabil dengan kedatangan pelancong di Kampung Boyan yang tidak putus-putus.

Namun, kini perniagaannya suram dan yang tinggal hanyalah tapak perniagaan.

Mengambil manfaat pengecualian bayaran sewa, kini Muhamad mengubah strategi perniagaan bertukar daripada usahawan telefon pintar kepada ais krim.

"Sebab utama saya mengubah perniagaan adalah jumlah pengunjung yang berkurangan.

"Perniagaan aksesori telefon mati tetapi tapak jualan saya masih ada disebabkan bantuan BKSS.

"Jadi saya memulakan perniagaan baru di sini untuk memastikan sumber pendapatan saya kembali,"katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Kongsinya lagi, kehilangan sumber pendapatan ketika PKP menyebabkan dia dan peniaga-peniaga yang lain berdepan dengan masalah tidak mampu membayar sewa gerai.

Senasib dengannya, usahawan kedai gunting rambut, Razaili Abdullah yang telah mula berniaga sejak 2014 di Kampung Boyan.

Jelasnya, tanpa bantuan penangguhan bayaran sewa tersebut, tidak mungkin kedainya masih beroperasi sehingga kini.

"Saya di sini menyewa dengan penyewa asal. Apabila ada bantuan penanguhan sewa, saya pun tidak perlu membayar sewa.

"Sekarang sudah hampir satu tahun saya tidak perlu membayar sewa," ujarnya.

Untuk rekod, melalui BKSS 1.0 hingga ke BKSS 7.0 pada 2020 dan 2021 kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM5.3 bilion bagi membantu meringankan beban rakyat dan memulihkan semula ekonomi .

Bagi usahawan PKS yang tidak menyewa tapak perniagaan, mereka juga tidak terkecuali untuk menerima manfaat daripada BKSS ini.

Sebanyak RM1,500 dibayar melalui Sarawak Pay nyata memberi kelegaan untuk mereka membuat modal pusingan.

"Saya gunakan bantuan tersebut untuk membeli kanopi, meja dan bahan-bahan untuk saya berniaga di depan rumah," jelas Nurul Izzati Shafiqa yang berniaga pelbagai air kopi di depan rumah.

Kata Nurul, bantuan RM1,500 itu digunakan untuk membeli mesin pengisar kopi.

"Dengan bantuan tersebut, saya dapat membeli mesin pengisar kopi. Saya kini boleh mempelbagaikan jualan dan menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Justeru mereka berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan agar para usahawan dapat kembali menstabilkan ekonomi mereka seperti sedia kala.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, kerajaan negeri akan memperuntukkan dana berjumlah RM285.47 juta selama enam bulan dan sekali bayar sepanjang tahun 2022 dibawah BKSS 8.0.