Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) 'berperang' berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perbalahan bermula apabila Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) membangkitkan tindakan kerajaan BN yang tetap berdegil mahu melaksanakan cukai GST.

Kata Ahli Parlimen PH itu, kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan mendakwa harga barang akan turun dengan pelaksanaan GST.

"Kita katakan kepada BN jangan perkenalkan GST kerana bawah sana rakyat susah. Kita cakap jangan, tapi apa berlaku, Pontian kata harga barang turun... tetap laksanakan juga. Termenung kita waktu itu," kata Johari ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad bangkit mempertahankan kenyataannya dengan berkata, asasnya kerajaan BN dahulu telah berjaya menggantikan SST sebanyak 10 peratus kepada 6 peratus GST.

"Saya tidak nyatakan semua barang akan turun tapi perkara penting berlaku, kita dapat turunkan cukai 10 peratus kepada 6 peratus itu perkara pokok yang kita dapat lihat.

"Dan dengan SST, ada RM30 bilion dipanggil pasaran gelap tipu cukai tapi dengan GST boleh selamatkan RM20 bilion," katanya.

Isu dua cukai kontroversi itu berpanjangan apabila Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) bertanya kepada Johari jika dia bersetuju bahawa kerajaan PH kini sedang dalam usaha merungkai kebobrokan dilakukan kerajaan BN.

Hujah itu mendapat perhatian Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangkit mempersoalkan janji PH yang menyatakan pelaksanaan SST akan menurunkan harga barang.

"Mungkin pernah dengan video tular dimana Yang Berhormat Damansara (Tony Pua) kata, dengan SST, harga barang akan turun, saya boleh dengarkan sekarang.

"Tapi sampai sekarang tak turun. Ini Belanjawan 2019 pun bajet, Damansara, tapi dibaca oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng," katanya merujuk kepada Pua.

Pua bangkit mempertahankan dirinya mendakwa kenyataannya diputar belitkan wakil rakyat BN itu.

"Saya nak betulkan sikit apa yang disebut Kinabatangan, selalu putar belit. Yang saya kata, jika ada SST harga barang akan lebih murah daripada GST.

"Itu yang saya sebut yang mana telah dibuktikan dengan siasatan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia yang menunjukkan bahawa memang benar harga barang selepas SST adalah lebih murah daripada harga GST," katanya.