KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus berusaha mempertingkat keputusan pengawalseliaannya, termasuk penguatkuasaan pendedahan mandatori serta ujian tekanan bagi menangani risiko perubahan iklim ke atas ekonomi.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat itu akan meneliti semula aspek standard kehematan sekiranya wajar serta mengenal pasti penyelesaian bagi menangani beberapa cabaran di Malaysia sebagai sebuah ekonomi sedang pesat membangun.

"Sebagai contoh, risiko kesan limpahan akibat perang di Ukraine serta penyusutan ekonomi Rusia daripada ekonomi global yang boleh menjurus kepada peningkatan risiko inflasi, kenaikan harga komoditi serta gangguan dalam rantaian bekalan.

"Kegusaran sedemikian telah mencetuskan kebimbangan bahawa tindakan berkaitan iklim ini hanya boleh menjejaskan dan pada masa sama, konflik (Rusia-Ukraine) telah mempercepatkan lagi realiti peralihan yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi 'IMF Policy Dialogue: Climate-Related Financial Risks and Green Finance in Asia and the Pacific' yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Nor Shamsiah berkata BNM kini menumpukan usaha pembangunan satu asas kukuh dan ekosistem bagi peralihan risiko iklim yang mana BNM akan mewujudkan kesedaran dan membangunkan kepakaran dalam sektor kewangan dan perubahan iklim.

Beliau turut menggesa kalangan institusi kewangan, pelabur serta perniagaan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan menerima tindakan yang sejajar dengan cuaca.

"Kita membangunkan serta melancarkan taksonomi berteraskan prinsip sebagai satu sistem klasifikasi seragam bagi aktiviti ekonomi yang selaras dengan iklim sebagai panduan untuk keputusan pelaburan, pembiayaan serta penajajaminan," katanya.

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) telah ditubuhkan pada 2019 dan dipengerusikan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memperkukuh tindak balas terhadap perubahan iklim terbabit.

Menurut Nor Shamsiah, lebih daripada 70 peratus daripada jumlah pembiayaan untuk sektor swasta di Malaysia merangkumi pembiayaan bank manakala hampir separuh daripadanya bagi manfaat perusahaan kecil dan sederhana.

"Ini jelas menunjukkan bahawa bank-bank berperanan penting dalam menyokong peralihan hijau. Ia memainkan peranan utama bagi membolehkan pelanggan serta perniagaan menerima dan mempercepat peralihan itu menerusi keputusan berkaitan pinjaman, penajajaminan dan pelaburan.

"Memandangkan risiko berkaitan iklim adalah berbeza-beza, strategi iklim bagi sektor kewangan telah berteraskan kepada dua pertimbangan. Pertama, keperluan membina kapasiti dan mengekalkan kemampuan menyesuaikan rangka kerja berkaitan dan pendekatan ketika kita mendapat pengetahuan lebih lanjut mengenai pemacu risiko serta salurannya.

"Kedua, kepentingan dalam memastikan tindak balas penerimaan kewangan ke atas risiko iklim adalah selaras dengan strategi dan rangka kerja dalaman selain dasar serta pembangunan untuk meminimumkan impak gangguan sosial dan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA