BISNES
BNM: Inflasi keseluruhan susut 1.1 peratus, inflasi teras kekal pada Jun 2025

Inflasi keseluruhan Malaysia terus menyusut kepada 1.1 peratus pada Jun 2025 daripada 1.2 peratus yang disaksikan pada Mei lepas, manakala inflasi teras kekal pada 1.8 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia terus menyusut kepada 1.1 peratus pada Jun 2025 daripada 1.2 peratus yang disaksikan pada Mei lepas, manakala inflasi teras kekal pada 1.8 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan penurunan dalam inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah dalam komponen bukan teras seperti makanan segar, diesel dan pengangkutan penumpang udara.
"Inflasi yang lebih tinggi dalam item teras terpilih seperti makanan di luar rumah dan perkhidmatan penstriman, sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih dan konsol permainan video," katanya.
Sementara itu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 5.2 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: 5.4 peratus), berikutan pertumbuhan yang mantap dalam pinjaman terkumpul iaitu sebanyak 5.5 peratus, manakala pertumbuhan bon korporat yang terkumpul menurun kepada 4.3 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: 4.7 peratus)."Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul secara amnya stabil pada 4.5 peratus di tengah-tengah pertumbuhan yang berterusan dalam pinjaman untuk tujuan yang berkaitan dengan pelaburan, terutamanya di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Pertumbuhan pinjaman isi rumah tetap kukuh pada enam peratus bagi Jun 2025 berikutan pengembangan berterusan dalam pinjaman merentasi pelbagai tujuan," katanya.
BNM berkata dengan ketidakpastian global, ringgit mengukuh sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar US, dengan kadar pertukaran efektif nominal (NEER) pada -0.2 peratus (purata serantau: 0.3 peratus), disokong oleh kelemahan berterusan dalam dolar US.
Selain itu, bank pusat dan kerajaan akan terus menyelaraskan usaha untuk menggalakkan aliran pertukaran asing, katanya.
"FBM KLCI meningkat sebanyak 1.6 peratus (purata serantau: 1.5 peratus), sejajar dengan pergerakan pasaran ekuiti serantau, manakala hasil sekuriti kerajaan Malaysia 10 tahun menurun 5.0 mata asas (bps) (purata serantau: -11.5 bps)," katanya.
Menurut BNM, sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang positif dengan nisbah perlindungan mudah tunai sebanyak 160.6 peratus pada Jun 2025, manakala agregat nisbah pinjaman kepada dana kekal mantap pada 83.3 peratus.
Nisbah pinjaman terjejas kasar menurun kepada 1.4 peratus pada bulan itu tetapi nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9 peratus.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat 130.3 peratus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami