KUALA LUMPUR: Usaha kawal selia Lembaga Tabung Haji (TH) dari sudut pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) hanya satu penyelesaian interim atau sementara waktu sahaja.

Kementerian Kewangan memberi jaminan pelaksanaan kawal selia itu tidak akan mengubah sifat asal TH, khususnya dalam pengurusan jemaah Haji dan kekal melaksanakan fungsinya sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Ia tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima.

“Penyelesaian interim itu dibuat sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan selanjutnya.

“Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


[TERKINI] Sifat asal Tabung Haji tidak berubah |
 
“Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji,” ujar kementerian itu dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535, maka amat wajar simpanan pendeposit ini dikawal selia dengan lebih baik untuk memastikan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan rukun islam kelima, dan th dapat terus menjana pendapatan dari pelaburan yang patuh syariah.

Penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji, di samping simpanan untuk pelaburan.

TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion dan saling hubung rapat dengan sistem kewangan, terutamanya sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Sehubungan itu, deposit mencecah RM82 bilion tersebut yang merupakan 10% daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam negara perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang, kerana sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam, tambah kementerian itu lagi.

Kementerian Kewangan memberi amaran bahawa pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam dan pergolakan ke atas sistem kewangan Islam Malaysia.

Kementerian Kewangan menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini sementara menunggu selesainya RCI adalah berbeza daripada peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

Ujarnya lagi, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.