BNM pertahan pembelian tanah RM2 bilion untuk hab pendidikan

Malik Ridhwan
Mei 24, 2018 03:15 MYT
Pengambilalihan itu melibatkan kos RM2 bilion bergantung kepada penilaian akhir di kawasan terlibat. - Foto Muzium Bank Negara
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mempertahankan urusan pembelian tanah untuk pembangunan hab pendidikan kewangan milik bank pusat itu.
Dalam satu kenyataan, BNM berkata urusan pembelian tanah tersebut telah dibuat berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.
“Urusan pembelian tanah ini mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan Bank.
“Pihak Bank sentiasa telus berhubung dengan pembelian tanah ini,” kata kenyataan tersebut.
Justeru, BNM telah menyerahkan maklumat komprehensif mengenai pembelian tanah ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan kajian bebas dan menyeluruh.
Pada Januari, BNM memuktamadkan pengambilalihan tanah seluas 55.79 ekar pada nilai RM2 bilion dari kerajaan bersebelahan kompleks Sasana Kijang.
BACA: BNM beli tanah RM2 bilion dari kerajaan
Penilaian tanah itu dipersetujui bersama antara BNM dan kerajaan berdasarkan proses penilaian yang dijalankan oleh penilai sektor hartanah bebas yang dilantik.
Tanah itu akan digunakan untuk pemindahan Global Islamic Finance University (INCEIF) dan International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).
Tanah itu juga akan digunakan untuk pembangunan masa hadapan bagi tujuan kemudahan pendidikan dan latihan yang akan menumpukan kepada peningkatan kemampuan teknikal bakat dalam industri kewangan.
Keseluruhan kawasan itu akan disepadukan menjadi Hab Pendidikan Perkhidmatan Kewangan berkelas dunia dengan menerapkan pendidikan dan kajian bertaraf antarabangsa.
#Bank Negara #Bank Negara Malaysia #BNM #hab pendidikan #harga wajar #pembelian tanah #tanah #telus