BNM terima 29 permohonan bagi dapatkan lesen bank digital

Bernama
Julai 2, 2021 20:30 MYT
BNM berkata pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, setelah tempoh permohonan selama enam bulan berakhir pada 30 Jun 2021.
Dalam kenyataan pada Jumaat, bank pusat itu berkata lima lesen akan dikeluarkan dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama 2022.
"Pelbagai pihak telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri," katanya.
BNM berkata pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.
"Ini termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan pada kos yang berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif," katanya.
-BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #BNM #lesen #bank digital #mohon #Akta Perkhidmatan Kewangan #fintech