KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan usaha libat urus dan memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport dalam usahanya untuk mengukuhkan kembali nilai mata wang tempatan.

Kementerian Kewangan berkata bank pusat juga meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.

"BNM turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLICs) untuk mengurangkan tekanan kepada ringgit. Ini termasuk menggalakkan syarikat-syarikat ini untuk mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara yang baharu.

"Pelaburan luar negara yang dilaksanakan juga perlu diurus secara berhemat seperti melindung nilai (hedging) pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara bagi mengurangkan tekanan kepada mata wang ringgit," kata kementerian itu menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit GelugoR) berkenaan langkah-langkah yang telah diambil kerajaan untuk mengukuhkan ringgit.

Menurutnya, risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar negara yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi.

"Kesemua faktor ini dijangka dapat memastikan keperluan perniagaan dipenuhi dengan berkesan, manakala kos dan keperluan mata wang asing diuruskan dengan cekap.

"Akhir sekali, dalam mengambil pendekatan yang melibatkan seluruh negara, rakyat Malaysia juga digalakkan untuk melancong dalam negara dan membeli barangan tempatan kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang malah dapat meningkatkan pemulihan ekonomi negara," kata kementerian itu.

-- BERNAMA