KUALA LUMPUR: Boost, firma teknologi kewangan milik Axiata Group Bhd, yakin akan memperoleh lesen perbankan digital daripada Bank Negara (BNM), yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata keyakinan itu terhasil selepas tiga tahun usaha merumuskan model bersesuaian bagi visi perbankan digital tersebut.

"Ia adalah cita-cita, kami perlu lakukan untuk menjadi pemain spektrum penuh.

"Apabila permohonan lesen perbankan digital muncul, kami terlibat dengan sangat mendalam dengan Bank Negara dan pihak kawal selia.

"Saya fikir kita sudah mengetahui perkara yang diperlukan, sekurang-kurangnya dari perspektif teknologi untuk menjadikan model ini berfungsi.

"Jadi saya fikir memandangkan kami telah melabur dengan signifikan dan kami mempunyai rakan kongsi konsortium yang mempunyai visi yang sama, kami sangat yakin.

"Kami meletakkan aplikasi yang sangat kuat dan saya fikir kami yakin tentang kekuatan permohonan kami.

"Itu sahaja yang boleh saya katakan pada ketika ini," katanya pada taklimat media secara maya bertajuk “Boost: Spearheading Fintech Innovation, Accelerating Regional Growth” pada Rabu.

Sheyantha juga memaklumkan syarikat itu menyasarkan untuk berkembang pada kadar yang sama atau lebih pantas pada 2022, berbanding 2021.

Tahun lepas, firma itu merekodkan jumlah urus niaga nilai kasar sebanyak RM4.9 bilion dan lebih RM900 juta pinjaman dikeluarkan.

Pada masa ini firma itu wujud di tujuh pasaran melalui pembayaran rentas sempadan dan Boost ialah pengendali berlesen di Malaysia dan Indonesia.