Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

Bukan ancaman kepada AS, Malaysia kekal strategik dalam rantaian bekalan global - Amir Hamzah

Pia Ernadya 17/11/2025 | 09:08 MYT
Amir Hamzah berkata, Malaysia memilih untuk kekal sebagai pemain tengah dengan strategi meningkatkan margin serta menambah kerumitan ekonomi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus membuka ruang besar untuk Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan global, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.


Ringkasan AI
  • Pengurangan tarif AS sebanyak 19 peratus membolehkan Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor E&E dan semikonduktor.
  • Malaysia dilihat sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan jangka panjang kerana menyediakan barangan perantaraan yang menyokong pertumbuhan industri.
  • Kebolehpercayaan ekosistem rantaian bekalan Malaysia menjadikan negara ini berbeza daripada pemain lain, dengan strategi meningkatkan margin untuk kekal sebagai pemain tengah.


Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kedudukan Malaysia di bahagian tengah rantaian nilai menjadikan negara ini bukan ancaman kepada agenda AS untuk membawa pulang industri bernilai tinggi ke negara itu.

“Kita bukan ancaman kepada aspirasi Amerika Syarikat yang mahu membawa pulang industri berteknologi tinggi mereka,” katanya ketika berucap dalam Fortune Innovation Forum 2025 di ibu negara, Isnin.

Jelasnya, rantaian bekalan E&E dan semikonduktor adalah rangkaian global yang sangat saling berkait, dan Malaysia telah membina asas kukuh hasil pelaburan syarikat Barat dan China.

“Kuncinya ialah keupayaan kita mengimbangi kedua-dua pihak dan memainkan peranan aktif dalam rangkaian sokongan.

"Malaysia adalah komponen penting dalam rantaian bekalan jangka panjang kerana kita menyediakan barangan perantaraan yang menyokong pertumbuhan industri,” katanya.

Amir Hamzah berkata kekuatan Malaysia terletak pada kebolehpercayaan ekosistem serta mekanisme rantaian bekalan yang lebih stabil berbanding banyak negara lain.

“Keandalan (kebolehpercayaan) ekosistem kita menjadikan rantaian bekalan Malaysia berbeza daripada kebanyakan pemain lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia tidak berada pada bahagian tertinggi rantaian nilai yang memerlukan modal besar dan tenaga mahir intensif, dan bukan di bahagian paling bawah yang menawarkan margin rendah.

“Kita juga bukan di peringkat paling bawah rantaian, yang margin keuntungannya tidak mencukupi untuk kita,” katanya.

Sebaliknya, Malaysia memilih untuk kekal sebagai pemain tengah dengan strategi meningkatkan margin.

Amir Hamzah optimis bahawa pengukuhan rantaian nilai serta peningkatan nilai tambah akan memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya saing dan mampan pada masa hadapan.



#Amir Hamzah Azizan #Malaysia #tarif AS #pertumbuhan ekonomi Malaysia