Seseorang boleh memegang satu atau lebih akaun bank yang mengandungi simpanan atau tanpa simpanan di dalamnya.

Demikian menurut Tan Sri Kamal Salih, Dr Muhammad Abdul Khalid dan Dr Lee Hwok Aun dalam satu kenyataan bagi mempertahankan laporan Pembangunan Manusia 2013 yang dikeluarkan mereka.

Pada masa sama, mereka turut menyangkal dakwaan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bahawa lebih daripada 90% daripada rakyat Malaysia mempunyai simpanan kerana mereka mempunyai akaun bank.

"Gabenor Bank Negara Malaysia merujuk kepada data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan bahawa 'lebih daripada 90% daripada rakyat Malaysia mempunyai akaun simpanan'.

"Ia adalah metodologi empirikal dan tidak mencukupi untuk menyamakan simpanan dengan akaun simpanan semata-mata.

"Majoriti rakyat Malaysia mempunyai akaun bank dan ada yang memiliki beberapa akaun bank. Dan bukan semua akaun bank ada simpanan di dalamnya,” kata penulis laporan itu.

Pada Khamis, Zeti berkata laporan tersebut hanya mempunyai "maklumat separa" dan boleh dianggap sebagai "mengelirukan" sambil menambah bahawa data bank pusat meliputi rangkuman kewangan secara keseluruhan.

Namun, penyelidik laporan Pembangunan Manusia 2013 berkata, selepas mengkaji Pendapatan Isi Rumah yang telah disediakan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancang Ekonomi dari Jabatan Perdana Menteri mendapati bahawa majoriti rakyat mempunyai simpanan sifar.

"Data kajian Pendapatan Isi Rumah merekod hutang dan dividen daripada entiti komersial, koperasi dan institusi simpanan lain, kesemuanya dari sektor rasmi dan tidak rasmi.

"Oleh itu, data kajian ini adalah lebih luas dan menyeluruh, merangkumi lebih daripada akaun perbankan formal," kata penyelidik.

Zeti telah berhujah bahawa rakyat pasti akan mempunyai simpanan atau akan berjimat untuk tujuan tertentu seperti menyimpan di Tabung Haji untuk menunaikan haji dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) untuk pembelian harta.

"Mereka mungkin melihat simpanan dalam sistem perbankan, tetapi mereka tidak melihat simpanan (dalam pengantara kewangan bukan bank) seperti Tabung Haji dan koperasi," kata Zeti kepada Bernama.

Tetapi, penyelidik mengulangi bahawa anggaran laporan itu tidak merangkumi simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka hanya berminat untuk simpanan berjaga-jaga sahaja.

"Laporan itu tidak merangkumi pelaburan dalam Tabung Haji dan PNB (Permodalan Nasional Bhd) dan lain-lain pelaburan, yang kita takrifkan sebagai pelaburan kewangan, bukan simpanan. Data kami menunjukkan bahawa 57% daripada rakyat Malaysia masih tidak mempunyai pelaburan kewangan.

"Ini selaras dengan data daripada Tabung Haji yang menunjukkan bahawa kira-kira dua pertiga daripada umat Islam tidak mempunyai akaun dengan Tabung Haji, manakala kira-kira separuh daripada Bumiputera tidak mempunyai akaun dengan ASB (Amanah Saham Bumiputera)."

Mereka dalam pada itu mengalu-alukan komen konstruktif dan kritikal berhubung laporan tersebut demi kepentingan negara.

Laporan itu yang dilancarkan pada Selasa, telah ditugaskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Ia mendedahkan bahawa 90% dan 86% daripada isi rumah luar bandar dan bandar, masing-masing, tidak mempunyai simpanan, manakala kajian menunjukkan 88% isi rumah tidak mempunyai simpanan.