BISNES
Bursa dibuka meningkat dipacu keadaan serantau lebih reda, belian terpilih

Bursa Malaysia dibuka sedikit meningkat disebabkan minat belian sederhana selepas pengumuman gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang meredakan kebimbangan politik serantau. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka meningkat sedikit pada hari ini, disokong oleh minat belian sederhana susulan gencatan senjata Thailand-Kemboja yang terbukti membantu meredakan kebimbangan berkaitan politik serantau.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka sedikit meningkat disebabkan minat belian sederhana selepas pengumuman gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang meredakan kebimbangan politik serantau.
- Sentimen pasaran kekal bercampur dengan kaunter rugi melebihi kaunter untung, namun indeks utama FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,530 hingga 1,545.
- Faktor lain seperti semakan semula unjuran KDNK oleh BNM dan penurunan OPR dijangka memberi impak kecil, dengan pelabur kini menumpukan kepada prestasi pendapatan korporat.
Sentimen pasaran susut sedikit dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 171 berbanding 137 manakala 288 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,925 tidak diniagakan dan 44 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 231.67 juta saham bernilai RM112.10 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berpotensi untuk terus meningkat susulan aktiviti memburu saham berharga rendah selanjutnya, didorong oleh perkembangan berkaitan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Beliau berkata ini disokong oleh usaha diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak mengumumkan gencatan senjata berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Putrajaya semalam yang dihadiri oleh rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Selain itu, Thong berkata tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 berkemungkinan besar memberi impak kecil ke atas pasaran.
Beliau berkata, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebelum ini dapat menampung impak daripada semakan semula KDNK itu ketika pelabur mengalihkan tumpuan ke atas pendapatan korporat.
"Tiada reaksi yang besar kecuali terdapat pengaruh lain yang memberi kesan amat ketara ke atas prospek KDNK berkenaan.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks petunjuk utama itu akan bergerak dalam julat 1,530 hingga 1,545 pada hari ini," katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM9.55, Tenaga Nasional meraih lapan sen kepada RM13.44, CIMB susut dua sen kepada RM6.73 manakala Public Bank dan IHH Healthcare kekal tidak berubah RM4.25 dan RM6.66.
Bagi saham paling aktif, Oxford Innotech yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, menokok sembilan sen kepada 38 sen; NexG dan TWL tidak berubah masing-masing pada 53 sen dan 2.5 sen; Ekovest susut 3.5 sen kepada 40.5 sen manakala Pharmaniaga turun 2.5 sen kepada 19 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Kuala Lumpur Kepong naik 24 sen kepada RM20.04; Hong Leong Industries meraih 12 sen kepada RM13.12 dan DKLS Industries menokok lima sen kepada RM1.85.
Selain itu, kaunter paling rugi Nestle yang merosot 90 sen kepada RM87.10 manakala United Plantations susut 12 sen kepada RM21.78.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menambah 5.18 mata kepada 11,477.38, Indeks FBMT 100 naik 7.83 mata kepada 11,240.28 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.80 mata kepada 11,498.84.
Indeks FBM 70 naik 4.23 mata kepada 16,534.64 manakala Indeks FBM ACE menambah 3.39 mata kepada 4,639.99.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.15 mata kepada 17,408.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.07 mata kepada 157.46, Indeks Tenaga sebaliknya susut 2.05 mata kepada 738.74 dan Indeks Perladangan berkurangan 21.02 mata kepada 7,442.21.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami