Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
BISNES

Bursa Malaysia alami penurunan berikutan pengambilan untung pada awal dagangan

Bernama 27/08/2025 | 03:30 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.26 mata kepada 1,578.33 daripada 1,581.59 ketika ditutup semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi pada Rabu namun turun dalam beberapa minit selepas itu, dengan indeks penanda aras mengalami penyusutan berikutan aktiviti pengambilan untung susulan penjualan semalam, meskipun dagangan di Wall Street meningkat.


Ringkasan AI
  • FBM KLCI dibuka sedikit tinggi tetapi susut selepas beberapa minit akibat aktiviti pengambilan untung dan tekanan jualan serantau.
  • Pasaran keseluruhan hambar dengan lebih banyak kaunter rugi berbanding untung, walaupun Wall Street ditutup kukuh menjelang pengumuman pendapatan Nvidia.
  • Indeks dijangka kekal dalam julat kecil 1,5801,590 dengan pemulihan pantas berkemungkinan berlaku, disokong oleh beberapa saham aktif dan peningkatan dalam indeks tertentu seperti FBM 70 dan FBM ACE.


Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.26 mata kepada 1,578.33 daripada 1,581.59 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 0.18 mata lebih tinggi kepada 1,581.77.

Keseluruhan pasaran adalah hambar dengan 176 kaunter rugi mengatasi 164 kaunter untung, manakala 264 kaunter tidak berubah, 2,035 kaunter tidak diniagakan dan 69 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencecah 167.99 juta saham bernilai RM120.82 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih kukuh apabila para pelabur tidak mengendahkan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang memecat Gabenor Rizab Persekutuan AS, Lisa Cook.

"Sebaliknya, pasaran memberi tumpuan kepada pendapatan Nvidia yang akan diumumkan hari ini, manakala hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun meningkat sedikit kepada 4.26 peratus," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di pasaran tempatan, FBM KLCI yang semakin menghadapi tekanan jualan susut sedikit betul-betul di atas ambang 1,580.

"Penjualan yang berlaku agak drastik ekoran penjualan serantau, seperti yang ditunjukkan menerusi lonjakan jumlah dagangan harian kepada lebih empat bilion.

"Pemulihan pantas mungkin berlaku justeru, kami menjangkakan indeks itu kekal dalam julat kecil antara 1,580 dan 1,590 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah 6.0 sen kepada RM13.50. Maybank susut 2.0 sen kepada RM9.73, Public Bank turun 6.0 sen kepada RM4.36, CIMB Group berkurangan 1.0 sen kepada RM7.39, manakala IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.77.

Bagi saham aktif, Magma Group naik 3.5 sen kepada 34 sen, Vetece Holdings menambah 2.0 sen kepada 32 sen, Tanco Holdings meningkat 1.0 sen kepada 73 sen, manakala Pharmaniaga dan Avangaad masing-masing naik setengah sen kepada 17.5 sen dan 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 33.33 mata kepada 16,486.50, Indeks FBM ACE menambah 10.79 mata kepada 4,762.44, dan Indeks FBM Emas Syariah naik 3.88 mata kepada 11,681.16.

Sementara itu, Indeks FBM Emas susut 9.44 mata kepada 11,724.83, dan Indeks FBMT 100 turun 12.25 mata kepada 11,493.97.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.28 mata kepada 748.48. Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 52.80 mata kepada 18,036.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.07 mata kepada 162.55, dan Indeks Perladangan turun 3.73 mata kepada 7,570.40.

-- BERNAMA


#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #rizab persekutuan