KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menasihatkan pelabur agar lebih berwaspada untuk melindungi diri mereka dan orang lain daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Pengendali bursa itu berkata, baru-baru ini pihaknya memantau pertambahan jumlah penipuan melibatkan penyalahgunaan nama dan logo korporat Bursa Malaysia.

"Ketika tempoh ketidaktentuan seperti pandemik COVID-19 yang sedang berlaku, scammer (penipu) cuba mengumpan mangsa untuk menyertai skim dan aktiviti pelaburan yang meragukan.

"Mereka kerap menggunakan syarikat yang tidak berlesen dan tidak berdaftar, laman web dan bahan promosi yang menyerupai institusi kewangan yang sah untuk memperdaya orang awam yang melabur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pada kebiasaannya, penipuan pelaburan akan menggunakan nama dan logo Bursa Malaysia untuk bahan berkaitan pemasaran dan hantaran di media sosial dengan menawarkan pulangan pelaburan yang tinggi berserta jaminan tiada risiko atau berisiko kecil.

"Pelabur diarahkan untuk ke laman web 'palsu' dan nombor telefon yang diberikan scammer. Laman web palsu ini hampir serupa dengan laman web asal institusi kewangan yang sah," katanya.

Katanya, panggilan kepada nombor telefon yang disediakan, disambungkan kepada scammer yang mendakwa sebagai pekerja dan kemudiannya mengarahkan pelabur untuk memindahkan wang ke dalam akaun dengan nama berbeza.

Sehubungan itu, ia mengingatkan orang ramai untuk hanya melabur dengan pihak yang berlesen.

"Senarai peringatan pelabur yang dikemas kini bagi laman web tidak sah, produk pelaburan, syarikat dan individu boleh diperolehi di Akademi Bursa di https://www.bursaacademy.bursamarketplace.com/en/sc- investor-alert," menurut bursa.

Selain itu, ia menyarankan pelabur agar mengesahkan maklumat berkenaan dan tidak bergantung kepada bahan pemasaran yang tidak diminta.

"Pelabur juga perlu membandingkan dan mengesahkan laman web atau laman media sosial. Laman web atau laman media sosial palsu pada kebiasaannya mempunyai logo yang kelihatan ganjil (atau resolusi rendah) yang tidak sama dengan logo syarikat yang sah," kata Bursa Malaysia.

Mereka juga perlu mengelakkan kaedah pembayaran luar biasa dan mendapatkan nasihat daripada golongan pakar.

"Bersikap curiga dengan tawaran pelaburan tanpa diminta yang diberikan secara dalam talian, di media sosial dan menerusi panggilan telefon," katanya.

Bursa Malaysia berkata pihaknya tidak melibatkan ejen pihak ketiga untuk mewakilinya.

"Sekiranya orang ramai menerima komunikasi yang tidak diminta atau mencurigakan yang mengaitkan atau mendakwa sebagai ejen Bursa Malaysia, hubungi kami di talian 03-2732 0067 atau emel [email protected] untuk mengesahkan kandungan komunikasi berkenaan," katanya.

-- BERNAMA