BISNES

Bursa Malaysia dibuka rendah

Bernama 03/07/2025 | 03:05 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.56 mata atau 0.17 peratus kepada 1,547.65 daripada 1,550.21 ketika ditutup pada Rabu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, menjejaki sentimen serantau yang optimis, bagaimanapun aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan kenaikan baru-baru ini menjejaskan pasaran, kata seorang penganalisis.


Ringkasan AI
  • Bursa Malaysia dibuka rendah disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi walaupun sentimen serantau kekal optimis.
  • Minat belian dalam saham teknologi dijangka meningkat berikutan perjanjian perdagangan antara AS dan Vietnam serta perkembangan pusat data, dengan fokus kepada sektor tenaga boleh baharu.
  • Prestasi saham bercampur dengan beberapa saham utama naik, manakala yang lain seperti Tenaga Nasional dan Public Bank mencatat penurunan; suasana pasaran keseluruhan negatif.


Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.56 mata atau 0.17 peratus kepada 1,547.65 daripada 1,550.21 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.07 mata kepada 1,546.14.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 185 berbanding 135, sejumlah 248 kaunter tidak berubah, 1,820 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 209.16 juta saham bernilai RM115.45 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata minat belian dalam saham teknologi di Wall Street, dirangsang oleh perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam, dijangka merebak ke pasaran tempatan.

Sentimen di Amerika Syarikat bertambah baik selepas perjanjian dua hala, hasilnya, barangan Vietnam akan dikenakan tarif 20 peratus manakala duti sifar peratus terhadap barangan AS memasuki Vietnam.

"Susulan optimis mengenai perkembangan pusat data, peniaga mungkin memantau kaunter teknologi dan telekomunikasi. Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kami memihak kepada segmen tenaga solar dan tenaga boleh baharu termasuk Gas Malaysia dan BM Greentech.

"Memandangkan tekanan inflasi yang meningkat, ia mungkin membawa kepada penurunan dagangan pengguna," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare naik 2.0 sen masing-masing kepada RM9.78 dan RM6.85, CIMB menambah 4.0 sen kepada RM6.82, bagaimanapun Tenaga Nasional jatuh 44 sen kepada RM14.16, manakala Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.31.

Bagi saham aktif, NEXG dan TWL Holdings meningkat 0.5 sen masing-masing kepada 38.5 sen dan 3.0 sen, Techstore melonjak 2.5 sen kepada 20.5 sen naum Pharmaniaga merosot 1.0 sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 6.71 mata kepada 11,575.38, Indeks FBMT 100 merosot 8.40 mata kepada 11,352.37 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 22.04 mata kepada 11,577.79, Indeks FBM 70 menambah 33.09 mata kepada 16,644.33 manakala Indeks FBM ACE naik 2.79 mata kepada 4,481.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.70 mata kepada 17,733.46, Indeks Perladangan naik 7.43 mata kepada 7,403.39, Indeks Tenaga menambah 1.08 mata kepada 748.25 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.31 mata kepada 154.78.

-- BERNAMA



#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #saham wajaran tinggi